Lebih 300 pesawah di Kampung Tok Uban mohon bantuan
Pasir Mas: Lebih 300 pesawah di Kampung Tok Uban di sini, buntu memikirkan nasib mereka yang kerugian ratusan ribu ringgit susulan tidak mempunyai sistem aliran air yang lengkap untuk disalurkan ke sawah seluas kira-kira 630 hektar.
Situasi itu turut menyebabkan tanah sawah di sembilan unit Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) kering dan merekah.
Pertumbuhan padi turut terbantut sekali gus merosakkan kualiti tanaman di sawah berkenaan.
Pesawah mendakwa, mereka sudah beberapa kali mengadu berkaitan masalah terbabit kepada pihak berkaitan namun belum diambil sebarang tindakan.
Ia menyebabkan mereka hanya boleh menuai sekali setahun berbanding di tempat lain iaitu dua atau tiga kali setahun.
Pesawah, Nazri Mohd Ali, 50, berkata, sepatutnya masalah pengaliran air ke sawah di situ tidak berlaku kerana jarak punca air iaitu di Danau Tok Uban, sangat dekat dengan kawasan berkenaan.
“Pihak berkuasa hanya perlu turun padang sendiri untuk mengkaji cara penyelesaian serta melaksanakan pembinaan aliran air ke sawah agar masalah yang dihadapi pesawah selama lebih 50 tahun ini dapat diselesaikan dengan segera.
“Kami sekarang hanya mengharapkan kepada sumber air hujan untuk mengusahakan padi. Justeru, hanya sekali setahun sahaja ia mendatangkan hasil dan boleh dituai. Jika kemarau berpanjangan, maka keadaan menjadi lebih sukar.
“Kebanyakan penduduk di sini mengharapkan hasil tanaman padi sebagai punca pendapatan utama. Jika keadaan ini berterusan, ia pasti merumitkan kami untuk mencari rezeki,” katanya ditemui di kampung berkenaan semalam.
Tanah sawah yang terkesan dengan masalah pengaliran air berkenaan membabitkan PPK Tok Uban, Tok Dap Kecil, Tok Dap Besar, Kampung Gelam, Bechah Kidal, Kampung Nibong, Gong Dayat, Binjai dan Kampung Kelar di sini.
Pesawah generasi ketiga, Radin Mohamad Hafiz, 25, mengakui dia antara anak muda yang berhasrat untuk terus memajukan sawah padi di kawasan berkenaan.
“Saya mohon kepada pihak berkaitan untuk mendengar luahan kami, seterusnya bertindak segera supaya pertanian padi di sini dapat terus berkembang.
“Saya mahu menyahut hasrat kerajaan supaya lebih ramai anak muda memajukan bidang pertanian. Jadi, bantulah saya untuk merealisasikan impian ini dengan hanya mengambil tindakan membina saliran air sebaiknya,” katanya.
Sementara itu, Md Nasir Yaakub, 62, pula berharap agensi berkaitan dapat membantu menyelesaikan masalah terbabit.
“Ini kerana, masalah ini sudah lama menjadi kekangan utama yang bagaikan tiada penghujung bagi pesawah di PPK ini,” katanya.
METRO