Erik ten Hag menggariskan lima peraturan
London: Erik ten Hag menggariskan lima peraturan yang beliau mahu pemain Manchester United patuhi.
Pengendali dari Belanda itu, yang disahkan sebagai bos United sejak April lalu, membimbing pasukan pada kempen pertamanya di Old Trafford dan mahu mengenali skuadnya dengan lebih mendalam.
Kelab itu akan memulakan jelajah pramusim di Thailand dan Australia akhir bulan ini menjelang musim baharu Liga Perdana bermula Ogos depan.
Seorang yang berdisiplin dan tegas, pengurus berusia 52 tahun itu menetapkan satu set peraturan yang beliau harapkan akan dipatuhi oleh setiap pemainnya.
Menurut Daily Mirror, mana-mana pemain yang lewat ke sesi latihan atau mesyuarat pasukan akan digugurkan tanpa pengecualian.
Minum alkohol semasa minggu perlawanan juga adalah sesuatu yang akan diharamkan sekali gus menandakan larangan secara menyeluruh terhadap minuman keras kerana United akan mengharungi jadual perlawanan yang padat.
Salah satu perubahan terbesar adalah mengenai pengambilan makanan. Ten Hag melarang pemain daripada menggunakan tukang masak peribadi mereka sendiri dan mahu semua pemain menggunakan kantin di Carrington sebagai sumber makanan utama mereka.
Ten Hag berusaha untuk merombak menu yang tersedia sebagai salah satu langkah pertamanya, dengan ikan dan sayur-sayuran kini menjadi menu utama.
Pemain seperti Luke Shaw sebelum ini mengupah chef persendirian, langkah yang menyaksikan pemain dapat memenuhi keinginan pilihan pemakanan mereka sendiri.
Setiap pemain akan menerima pelan pemakanan yang unik untuk memenuhi keperluan individu mereka. Satu-satunya perbezaan ialah ia kini akan dikawal oleh kelab.
Pengendali dari Belanda itu juga mahu setiap pemain menjaga berat badan mereka dan BMI setiap mereka akan diperiksa setiap minggu.
Akhir sekali, beliau mahu semua rungutan pemain dikendalikan olehnya sendiri.
METRO