Lelaki warga emas dibunuh, dibakar

Oleh – Syeikh Baran


Lelaki warga emas dibunuh, dibakar
Seorang lelaki warga emas dipercayai dibunuh dan dibakar oleh saudaranya sendiri sebelum serpihan tulang ditemui di kawasan hutan belakang sebuah rumah di Kampung Kipaliu, Ranau kelmarin. -Foto PDRM

Seorang lelaki warga emas dipercayai dibunuh dan dibakar oleh saudaranya sendiri sebelum serpihan tulang ditemui di kawasan hutan belakang sebuah rumah di Kampung Kipaliu kelmarin.

Serpihan tulang mangsa berusia 68 tahun itu ditemui oleh keluarganya berdasarkan penemuan kawasan yang dibakar terletak di belakang rumah mangsa kira-kira pukul 3 petang.



Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan, Simiun Lomudin berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengadu yang juga anak saudara kepada mangsa dan suspek pada pukul 9.43 malam.

“Pengadu memaklumkan menemui serpihan tulang disyaki tulang manusia yang telah dibakar di kawasan hutan belakang rumah mangsa.

“Serpihan tulang itu dipercayai milik bapa saudaranya yang hilang pada 16 April lalu.

“Bagaimanapun, semua serpihan tulang yang ditemui akan dihantar ke Jabatan Kimia Kota Kinabalu untuk tujuan analisa perbandingan DNA,” katanya ketika dihubungi.



Mengulas lanjut, Simiun menyatakan hasil siasatan menahan seorang lelaki yang juga anak saudara kepada mangsa.

Menurut beliau, suspek berusia 50 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau tidak jauh dari lokasi kejadian untuk membantu siasatan.

“Polis masih dalam proses siasatan termasuk mengenalpasti motif sebenar kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.



Sementara itu, Simiun berkata, polis menyeru orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini yang boleh mengganggu siasatan serta menggugat ketenteraman awam.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button