‘Senda agama beri imej buruk industri lawak’

KUALA LUMPUR: Kontroversi membabitkan seorang wanita didakwa menghina agama Islam dengan membuat persembahan komedi berdiri di sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail, Sabtu lalu mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan pelawak tempatan, terutama mereka yang cukup sinonim dengan jenaka berkonsepkan ‘stand up comedy’.

Sebagai pelawak berpengalaman, pelawak, pelakon dan penyampai radio Fly FM, Douglas Lim mendakwa, tindakan wanita itu sebagai cubaan memberikan imej buruk terhadap industri lawak jenaka tanah air.

Berang perbuatan melampau wanita berkenaan, Douglas mendakwa, insiden itu mempunyai unsur sabotaj.

“Tindakan wanita ini menjejaskan, mencetuskan kemarahan, penghinaan dan kejutan. Apa yang dilakukannya bukan persembahan komedi berdiri.

“Saya beranggapan, perbuatannya mempunyai unsur sabotaj dilakukan oleh seseorang yang tidak bertanggungjawab. Saya juga ada mendengar, wanita ini pernah membuat jenaka sama di tempat lain,” dakwa Douglas.

Douglas, 45, meluahkan rasa simpati terhadap pemilik kelab komedi, Crackhouse Comedy Club yang menjadi lokasi insiden kerana terpaksa berdepan ujian seperti itu.

“Kepada pemilik kelab, saya sangat bersimpati apabila kejadian ini berlaku selepas melalui pelbagai kepayahan, terutama ketika pandemik COVID-19.

“Keadaan sangat sukar yang mana kalian terpaksa menjual pizza untuk meneruskan kehidupan dan akhirnya, ini pula yang terjadi. Saya pasti kebenaran akan terbukti,” ungkap pelakon filem Rumah Maduku Berhantu itu.

Berpengalaman membuat persembahan di kelab komedi itu, Douglas menepis tanggapan sesetengah pihak yang mendakwa kelab itu bersekongkol dengan perbuatan melampau wanita berkenaan.

“Apa yang nak dikatakan, belum pernah saya melihat komedi sedemikian sepanjang beberapa kali menyaksikan persembahan dan membuat lawak jenaka sepanjang lapan tahun kelab ini ditubuhkan.

“Jika ada sesiapa terfikir kelab ini bersekongkol dan menyokong persembahan lawak seperti itu, ia tidak benar sama sekali.

“Di situ, tempat sama untuk golongan amatur dan profesional membuat persembahan serta cuba memberikan hiburan terbaik buat pengunjung untuk bergelak ketawa,” tegasnya.

Dalam video berdurasi 53 saat, seorang wanita berbaju kurung dan bertudung memperkenalkan diri dengan mendakwa sebagai wanita Muslim dan menghafaz 15 juzuk al-Quran.

Sebaik selesai memperkenalkan diri, wanita itu membuka tudung dan baju kurung dengan pakaian mencolok mata.

Tindakan wanita didakwa mengundang rasa tidak senang, apatah lagi, ketika umat Islam sedang meraikan Aidiladha. Video itu tular dan menerima reaksi pelbagai pihak.

Malah, wanita itu juga sudah ditahan reman selama tiga hari oleh sepasukan pegawai dan anggota Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bukit Aman, di Jalan Gasing, Petaling Jaya, malam kelmarin.

Datuk Afdlin Shauki pula menentang sekeras-kerasnya penutupan Crackhouse yang menjadi pentas kecil bagi pelawak solo baharu beraksi.

Baginya, permasalahan berlaku membabitkan individu yang didakwa melakukan kontroversi dan ia juga tiada kena-mengena dengan tempat itu sebagai platform mengetengahkan bakat.

“Saya membangkang penutupan Crackhouse disebabkan perbuatan seorang wanita itu atas pentas.

“Crackhouse adalah tempat ramai pelawak baharu mempelajari seni.

“Ia dibuka kepada golongan amatur yang ingin mengasah bakat. Untuk menilai persembahan baik atau sebaliknya, kita kena mempersembahkannya di hadapan orang ramai, baharu tahu mana yang boleh pakai dan tidak.

“Sama macam atlet yang kena berlatih sampai bagus. Takkan kita tutup kolam renang disebabkan seorang peserta ambil steroid. Itu salah perenang, bukan salah kolam renang,” katanya.

BHOnline

Leave a Reply