Negara mungkin kerugian AS$8 bilion disebabkan salahlaku kerajaan Midin dalam penyelesaian Goldman Sachs

Kerajaan mempunyai tempoh cukup untuk berunding namun kenapa perjanjian tersebut dibuat dalam keadaan tergesa-gesa.

Oleh Nurul Aisyah

PERJANJIAN penyelesaian antara kerajaan Muhyiddin dengan Goldman Sachs hampir tiga tahun lepas kini diragui ketelusannya. Bagi mereka yang mengikuti perkembangan tersebut mendapati kemungkinan wujud unsur-unsur salahlaku kerajaan Perikatan Nasional (PN) sangat tinggi.

Ada sesuatu yang tidak kena berdasarkan garis masa atau peristiwa, jumlah yang diselesaikan dan penafian PN sendiri. Negara mungkin telah kerugian sebanyak AS$8 bilion disebabkan oleh kerajaan Muhyiddin.



Oleh itu, Muhyiddin, Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Peguam Negara Idrus Harun digesa mendedahkan sepenuhnya semua perkara yang membawa kepada perjanjian penyelesaian antara kerajaan PN dengan Goldman Sachs hampir tiga tahun lepas.

Muhyiddin Yassin yang menerajui kerajaan ketika persetujuan itu dicapai, mesti memberi jawapan yang diperlukan oleh kerajaan semasa pimpinan Anwar Ibrahim berhubung perkara itu. Zafrul turut mempunyai tanggungjawab akauntabiliti dalam perjanjian dengan Goldman Sachs itu memandangkan beliau merupakan Menteri Kewangan dalam pentadbiran Muhyiddin.

Idrus Harun yang dilantik menjadi peguam negara ketika Muhyiddin menjadi perdana menteri pada Mac 2020 juga perlu memikul tanggungjawab tersebut.

Terma perjanjian penyelesaian Goldman Sachs “dibelenggu rahsia”. Pengerusi pasukan petugas khas 1MDB Johari Ghani telah mempertikai kepantasan perjanjian tersebut dirunding serta dipersetujui bersama Goldman Sachs.



Bayaran modal pokok bon hanya perlu dilunaskan pada Mei 2022. Kerajaan mempunyai tempoh cukup untuk berunding namun kenapa perjanjian tersebut dibuat dalam keadaan tergesa-gesa.

Pada 30 Jun 2020, Johari Ghani menemui Muhyiddin, Zafrul dan Idrus untuk membincangkan kemungkinan tuntutan terhadap Goldman Sachs di Amerika Syarikat. Pada 3 Julai 2020, beliau mengusulkan cadangan bertulis kepada Muhyiddin, yang seterusnya menghantarnya kepada Idrus pada 15 Julai 2020.

Bagaimanapun, menjelang 24 Julai 2020, kerajaan menandatangani “Points of Agreement” bersama Goldman Sachs. Perjanjian penyelesaian penuh dikuatkuasakan pada 18 Ogos 2020.

Antara 2012 dan 2013, Goldman Sachs bertindak sebagai penaja jamin untuk tiga jualan bon yang mengutip USD6.5 bilion (RM26.71 bilion). Bank itu dilaporkan memperoleh yuran besar berjumlah USD606 juta untuk perkhidmatan mereka.



Kebanyakan dana dikumpul itu diseleweng menerusi skim didalangi dua pegawai kanan Goldman Sachs ketika itu, Tim Leissner dan Roger Ng, menyebabkan 1MDB mengalami kerugian antara USD7 bilion hingga USD9.6 bilion. Leissner dan Ng didapati bersalah oleh mahkamah di New York atas tuduhan rasuah melibatkan dana 1MDB.

Perjanjian penyelesaian dilaksanakan pada 18 Ogos 2020 menyaksikan kerajaan dan 1MDB memperoleh semula USD2.5 bilion daripada bank itu, termasuk yuran USD606 juta.

Penyelesaian itu juga termasuk kewajipan pihak bank untuk memastikan pemulihan aset asing yang boleh dikesan kepada dana 1MDB bernilai USD1.4 bilion dalam tempoh lima tahun.

Mengikut terma perjanjian itu, kerajaan berhak menerima bayaran interim sebanyak USD250 juta jika aset bernilai USD500 juta tidak dipulihkan dalam tempoh 24 bulan, iaitu sebelum Ogos tahun lepas. Bagaimanapun, setakat tempoh itu, Putrajaya tidak menerima bayaran yang dijanjikan.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button