Kerjasama swasta bantu kerajaan hadapi ketidaktentuan ekonomi

KUALA LUMPUR: Kerajaan melaksanakan pelbagai langkah strategik bagi menghadapi cabaran ketidaktentuan ekonomi global kesan krisis geopolitik dan perubahan iklim, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun Perdana Menteri berkata usaha itu tidak boleh dilakukan secara sendirian tanpa kerjasama dengan pihak swasta bagi mengukuhkan lagi ekonomi negara.

“Justeru, saya ingin menyeru agar syarikat-syarikat besar negara untuk saling bekerjasama dalam mencapai lebih banyak kejayaan untuk dimanfaatkan oleh seluruh Keluarga Malaysia.



“Kerjasama seperti ini dapat membantu mencapai matlamat karbon neutral di Malaysia pada 2050, seperti mana yang telah dipersetujui di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya berucap pada majlis Pelancaran PERODUA ALZA serba baharu di Pusat Persidangan Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, Tenaga Nasional Berhad (TNB) kini sedang berusaha untuk meningkatkan pengeluaran elektrik menggunakan sumber tenaga yang bersih serta penyediaan stesen pengecas kenderaan elektronik yang secukupnya.

Katanya, pada masa yang sama, PERODUA boleh mengambil peluang ini dengan meneroka peluang baharu seperti menghasilkan kenderaan elektrik berkualiti tinggi yang mampu dimiliki Keluarga Malaysia.

“Kedua-dua pihak boleh bekerjasama untuk memperkenalkan kadar caj yang mampu dilanggani semua.



“Malah, syarikat telekomunikasi negara seperti Telekom Malaysia juga dapat membuka kerjasama dengan kedua-dua pihak ini untuk menyediakan pakej data yang mampu memudahkan pengguna membuat tempahan caj kenderaan secara dalam talian.

“Kerjasama pintar seperti ini perlu dilaksanakan segera bagi mengatasi kesan perubahan iklim yang melanda dunia,” katanya.

Malah, tegas Ismail Sabri perjanjian antara syarikat dapat menjamin kelestarian dan pembangunan negara yang mampan.

“Kerajaan pula sedia berbincang dengan pihak swastauntuk memastikan dasar atau inisiatif yang diperkenalkan bersesuaian dengan hala tuju negara.



“Saya juga baru-baru ini telah meminta Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terletak dalam wilayah Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV), untuk membangunkan sebuah pusat latihan dan penyelidikan iaitu Center of Advanced Automative Research and Training (CAART),” katanya.

Mengulas pencapaian PERODUA, Perdana Menteri berkata, kerajaan berbangga dengan kejayaan yang telah dicapai PERODUA yang kini menjadi syarikat automotif nasional utama negara sejak 2006.

“PERODUA kini menjadi jenama buatan tempatan yang dipercayai dikalangan Keluarga Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, PERODUA sebagai syarikat automotif nasional turut bertanggungjawab memajukan industri melalui pelaburan lestari dan pada masa yang sama berusaha meningkatkan kebolehan syarikat tempatan darisudut kualiti, teknologi dan produktiviti.



Malah, katanya PERODUA turut membuktikan komitmen berterusankepada sektor automotif tempatan dengan pembelian komponen automotif sebanyak RM7 bilion secara purata setiap tahun.

“Keuntungan daripada pembelian komponen tempatan ini dapat digunakan oleh syarikat tempatan untuk terus memajukan perniagaan masing-masing sama ada mengembangkan operasi ataupun melabur dalam teknologi baharu.

“Saya difahamkan terdapat syarikat komponen tempatan yang telah menjadi pembekal komponen kepada syarikat Daihatsu di Jepun.

“Ini satu pencapaian yang membanggakan negara kerana lazimnya kita import komponen dari Jepun tetapi kini kita yang mengeksportkannya ke Jepun. Syabas saya ucapkan!,” katanya.



Beliau berkata, kestabilan kerjasama antara syarikat dapat mengukuhkan industri automotif negara dan memberi keyakinan bukan saja kepada pelanggan dan pekerjanya malah kepada kerajaan.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button