Wanita maut van tembung lori masuk laluan bertentangan

BATU PAHAT: Seorang penumpang van maut, manakala pemandunya parah apabila kenderaan dinaiki mereka bertembung sebuah lori di Batu 3 Jalan Kangkar Baru Paloh, Yong Peng, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata kemalangan kira-kira jam 5 petang berlaku ketika lori terbabit sedang dipandu seorang lelaki berumur 41 tahun dari arah Yong Peng menghala ke Paloh.

“Setiba di tempat kejadian ketika menuruni bukit dan melalui selekoh, pemandu lori itu dikatakan cuba mengelak sebuah kenderaan di hadapannya.



“Lori berkenaan dipercayai masuk ke laluan di sebelah kanan sebelum bertembung sebuah van dari arah bertentangan yang dinaiki pemandu berumur 37 tahun bersama seorang penumpang wanita berusia 37 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.

Akibat kemalangan itu, Ismail berkata, penumpang van terbabit disahkan maut di tempat kejadian, manakala pemandunya cedera parah akibat tersepit.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), di sini, untuk bedah siasat.

“Mangsa yang cedera juga dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut. Bagaimanapun, pemandu lori itu dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan, dan ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.



Beliau berkata, polis meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian berkenaan untuk tampil membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button