Didakwa salah guna jawatan dapatkan elaun memangku

Guna dokumen palsu dapatkan tender, usahawan didenda RM24,000

Kuala Lumpur: Dua bekas pegawai kanan MARA Corporation Sdn Bhd (MARA Corp) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, masing-masing atas lima pertuduhan menyalahgunakan jawatan bagi mendapatkan suapan dengan meluluskan bayaran elaun memangku untuk diri mereka tanpa kelulusan ahli lembaga pengarah.

Mengikut kelima-lima pertuduhan, Noor Irwan Marmi, 44, sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (memangku) MARA Corp didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dengan meluluskan Internal Memo MARA Corp bertarikh 15 September 2021 hingga 20 Januari lalu.

Dokumen itu berhubung perkara yang dia mempunyai kepentingan iaitu bayaran elaun memangku berjumlah RM46,281.75 untuk dirinya tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah MARA Corp.



Seorang lagi tertuduh, Rizal Abdul Gani, 44 tahun, juga berdepan lima pertuduhan iaitu sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Pengarah Kewangan Korporat Kumpulan (memangku), MARA Corp telah menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dengan mengambil tindakan meluluskan Internal Memo MARA Corp bertarikh 15 September 2021 hingga 20 Januari lalu.

Ia berhubung perkara yang dia mempunyai kepentingan iaitu bayaran elaun memangku berjumlah RM40,875 untuk dirinya tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah MARA Corp.

Pertuduhan terhadap mereka dibacakan di mahkamah sama secara berasingan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di tingkat 20, Menara MARA, 232 Jalan Tuanku Abdul Rahman, antara 17 September 2021 hingga 21 Januari 2022, mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.



Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM A Kala Vani dan Nurul Atiqah Mohamad Alias manakala Noor Irwan diwakili peguam Mohd Ozier Farhan Mohd Khanafeh sementara Rizal tidak diwakili peguam.

Nurul Atiqah mencadangkan jaminan berjumlah RM50,000 dengan seorang penjamin warga negara Malaysia bagi setiap tertuduh selain syarat tambahan kedua-dua tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat sebulan sekali.

Bagaimanapun, Mohd Ozier Farhan memohon jaminan RM10,000 kerana anak guamnya perlu menanggung dua anak berumur 16 dan tujuh tahun serta ibu bapanya.



“Penjamin adalah abangnya yang bekerja sebagai pemandu Grab dan hanya berpendapatan RM2,000. Oleh itu tidak wajar untuk jumlah jaminan yang tinggi. Anak guam saya juga tidak berisiko untuk melarikan diri selain bersedia menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM,” katanya.

Rizal pula merayu jaminan bawah RM10,000 kerana beliau perlu menanggung empat anak selain memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan terhadapnya.

Mahkamah membenarkan Noor Irwan diikat jamin RM45,000 manakala Rizal RM40,000 dan mereka perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran sebulan sekali selain menetapkan 23 Ogos ini untuk sebutan semula bagi kedua-dua kes.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button