Usaha tangani doktor media sosial antara tumpuan

KUALA LUMPUR: Pemberian subsidi bagi minyak masak tulen botol dan tindakan pemantauan bagi menangani doktor media sosial yang berleluasa melariskan jualan kosmetik antara topik yang dijangka menjadi tumpuan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, soalan berhubung sama ada kerajaan bercadang meneruskan subsidi minyak masak tulen botol sehingga penghujung tahun ini diajukan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna semasa sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.

Sabri Azit (PAS-Jerai) pula meminta Menteri Kesihatan menyatakan tindakan kementerian bagi menangani doktor media sosial yang berleluasa melariskan jualan kosmetik hingga menyebabkan kesan sampingan kepada para pengguna.



Selain itu, Datuk Seri Azizah Mohd Dun (BERSATU-Beaufort) bertanyakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengenai tindakan kementerian dalam memastikan pembeli rumah pertama tidak terbeban dengan caj penuh bayaran balik pinjaman bank akibat projek rumah tergendala yang semakin menjadi-jadi pascaCOVID-19.

Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa (PH-Parit Buntar) pula dijangka mengajukan soalan berhubung jumlah majikan yang didakwa tidak mematuhi Perintah Gaji Minimum 2022 berkuat kuasa mulai 1 Mei lepas kepada Menteri Sumber Manusia.

Selesai sesi terbabit, Kementerian Sumber Manusia dijangka membentangkan Rang Undang-Undang Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2022 dan Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 untuk bacaan kali kedua serta dibahas Ahli-ahli Parlimen.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 12 hari hingga 4 Ogos.



BERNAMA

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button