Ada sinar di sebalik dugaan

Pasir Mas: Kemalangan yang menimpa ketika menunggang motosikal dalam perjalanan ke tempat kerja pada 28 Februari lalu mengubah kehidupan seorang pekerja restoran makanan segera apabila kini bergelar orang kurang upaya (OKU).

Akibat kejadian itu, kaki kanan Harish Zull Haiqal Zulkifli, 21, yang baharu dua minggu mendirikan rumah tangga terpaksa dipotong pada paras peha akibat mengalami kecederaan parah.

Harish berkata, dia turut patah tulang pinggul dan dirawat di Hospital Universiti Sains (USM) Kubang Kerian selama 17 hari sebelum dibenarkan pulang ke rumah.



“Walaupun kehilangan kaki di usia masih muda, saya tetap berfikiran positif selain isteri, Nabilah Izzah Mat Nadin, 21, dan keluarga sentiasa memberikan kata-kata semangat.

“Dalam masa sama, saya tidak menyangka akan memperoleh manfaat daripada Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) hasil daripada caruman yang dilakukan oleh majikan.

“Saya tidak akan menjadikan kekurangan diri sebagai halangan mahupun menjadikannya alasan untuk mengharap simpati sebaliknya akan berusaha selagi terdaya,” katanya.

Harish berkata demikian selepas menerima cek bayaran Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor, Saiful Adli Abu Bakar di Kampung Pauh Salor, di sini, hari ini.



Hadir sama, Timbalan Pengarah Perkeso Kelantan, Wan Izani Wan Isa.

Menurutnya, dia juga akan memulakan rawatan pemulihan intensif di Pusat Rehabilitasi Perkeso di Melaka dan dijangka kembali bekerja seperti biasa bagi meneruskan kelangsungan hidup menggunakan kaki palsu selepas tempoh dua atau tiga bulan.

“Lebih menguatkan semangat saya adalah isteri yang kini sedang hamil empat bulan dan kami bakal menimang cahaya mata sulung pada Februari depan,” katanya.

Sementara itu, Wan Izani berkata, sepanjang Januari hingga Jun lalu, Perkeso Kelantan sudah membuat pembayaran sebanyak RM4.06 juta membabitkan 6,311 kes di bawah FHUS.



“Bagi bayaran faedah ini, ia membabitkan kemalangan tempat kerja; perjalanan pergi dan balik dari kerja atau apa-apa kejadian yang berpunca daripada pekerjaan sehingga menyebabkan hilang upaya,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button