Objektif kualiti 3 jabatan hospital angkatan tentera tak tercapai

KUALA LUMPUR: Objektif kualiti pengurusan perkhidmatan kesihatan di tiga jabatan Hospital Angkatan Tentera (HAT) tidak tercapai berikutan kekurangan tenaga kerja dan beban tugas pegawai perubatan.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 Siri 1, objektif kualiti di Jabatan Perubatan Tentera (JPT), Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan yang menetapkan 70 peratus laporan Lembaga Perubatan Pegawai Kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disiapkan dalam tempoh sebulan, tidak tercapai pada 2018 dan 2021 kerana bebanan tugasan harian pegawai perubatan.

Laporan itu mendapati pegawai perubatan terbabit perlu membuat pemeriksaan kesihatan tahunan terhadap 25 hingga 30 anggota dan 12 hingga 15 pegawai kanan setiap hari dengan kekuatan hanya seorang doktor pakar.



“Bagi 2021, pegawai perubatan terbabit dengan tugasan luar jangkaan seperti penugasan perawatan pesakit COVID-19 dan program vaksinasi yang dilaksanakan oleh jabatan ini,” menurut laporan itu.

Laporan itu turut mengenal pasti objektif kualiti di Klinik Pakar Perubatan dan Ortopedik dan Unit Bius HAT Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak tidak tercapai berikutan doktor pakar perlu membuat lawatan rutin di wad sebelum memulakan rawatan di klinik.

Klinik Pakar Perubatan dan Klinik Pakar Ortopedik Pangkalan TLDM Lumut menetapkan sebanyak 80 peratus pesakit diberi perkhidmatan rawatan dalam jangka masa 90 minit daripada pendaftaran sehingga bertemu doktor pakar tidak tercapai pada 2018 hingga 2020 manakala Unit Bius di hospital sama tidak mencapai objektif kualiti iaitu memastikan 90 peratus daripada senarai kes elektif mula dibius sebelum atau pada 8.30 pagi bagi tempoh 2018 hingga 2021.

Laporan berkenaan mendapati doktor pakar dan pakar bedah hospital berkenaan perlu ke wad semasa perkhidmatan di klinik sedang dijalankan sekiranya diperlukan, keadaan itu menyebabkan doktor pakar lewat memulakan rutin di klinik pakar dan bilik bedah yang menjejaskan masa rawatan untuk pesakit serta janji temu pesakit masih direkodkan secara manual.



Susulan itu audit mengesyorkan HAT, Bahagian Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera dan Kementerian Pertahanan mengambil tindakan menjalankan kajian semula terhadap objektif kualiti yang ditetapkan dengan mengambil kira beban tugas pasukan perubatan bagi mempertingkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan.

Audit turut mengesyorkan keperluan perjawatan dikaji semula bagi membolehkan setiap HAT mencapai perkhidmatan yang optimum selain mempertimbangkan penggunaan sistem maklumat hospital bagi merekod maklumat pesakit menggantikan kaedah secara manual.

“Secara keseluruhannya, pihak audit mendapati pengurusan perkhidmatan HAT dilaksanakan dengan cekap dan berkesan bagi mencapai objektifnya untuk memberi perkhidmatan kesihatan pada warga ATM dan tanggungan,” menurut laporan itu.

BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button