Premis sorok minyak masak peket diserbu KPDNHEP

Jitra: Sebuah premis perniagaan di daerah ini diserbu sepasukan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kubang Pasu selepas disyaki menyorok serta menjual minyak masak bersubsidi dengan pembelian bersyarat.

Pengarah KPDNHEP Kedah Affendi Rajini Kanth berkata, premis itu diserbu pada 4.15 petang semalam selepas disyaki melakukan kesalahan itu mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu menyorok barang kawalan bersubsidi iaitu minyak masak berpeket satu kilogram (kg).

Menurutnya, pihaknya merampas sebanyak 120 peket minyak masak berkenaan untuk tindakan lanjut.

“Walaupun nilai rampasan hanya RM300 namun kesalahan ini agak besar.

“Kes ini disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan bagi individu boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan kedua boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Affendi berkata, kesalahan bagi pertubuhan perbadanan (syarikat) pula boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan bagi kesalahan kedua boleh didenda tidak melebihi RM5 juta.

Beliau turut menasihatkan masyarakat supaya menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat bagi memastikan penyelewengan berkenaan dapat dibanteras sehingga ke akar umbi.

METRO

Leave a Reply