Tiga maut nahas tiga kenderaan

KUANTAN: Tiga maut manakala empat cedera dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 126 Jalan Kuantan-Segamat, Rompin, malam tadi.

Mereka yang maut dikenali sebagai Abdul Raziz Mohdal, 40, Mohd Khairol Md Tahir, 36 dan Zairulzaimy Jambi, 18.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azahari Mukhtar, berkata kemalangan membabitkan sebuah treler, Proton Iswara dan Perodua Axia pada jam 8.50 malam.

Katanya, siasatan awal mendapati treler bergerak dari arah Kuantan menghala ke Segamat.

“Apabila sampai di tempat kejadian, secara tiba-tiba Proton Iswara dari arah Segamat dipercayai masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan treler.

“Kemalangan itu menyebabkan treler hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan Perodua Axia dan terus terjatuh ke bawah cerun di sebelah kanan jalan.

“Akibat kemalangan itu, kelindan treler, Abdul Raziz; pemandu Proton Iswara, Mohd Khairol dan penumpang belakang Iswara, Zairulzaimy meninggal dunia di tempat kejadian.

“Empat mangsa lain iaitu pemandu treler, dua penumpang Iswara dan pemandu Axia yang cedera dibawa ke Hospital Muadzam Shah, Rompin untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, seramai 15 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) MUadzam Shah dan BBP Chini, Pekan bergegas ke lokasi kemalangan.

“Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat.

“Tiga mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

BHOnline

Leave a Reply