Elak guna jambatan kecil ketika hujan lebat, banjir

BALING: Penduduk di daerah ini dinasihatkan sentiasa berwaspada dengan tidak menggunakan jambatan kecil ketika hujan lebat dan banjir.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat, berkata penduduk perlu berhati-hati berikutan hujan kerap berlaku sehingga menyebabkan banjir dan tanah runtuh.

Beliau berkata, banjir bukan hanya menjejaskan kediaman, malah merosakkan infrastruktur lain seperti jalan dan jambatan.



“Hujan lebat dalam kejadian Selasa lalu menyebabkan batang kayu dan sampah sarap dibawa arus merobohkan struktur konkrit jambatan di Kampung Teluk Sanau.

“Jika kita rasa jambatan itu tidak selamat untuk dilalui, pertama sekali kita bertindak menghubungi pihak berkuasa termasuklah Pejabat Tanah dan Daerah melalui pusat kawalan operasi bencana (PKOB).

“Penduduk juga boleh menghubungi Jabatan Kerja Raya atau balai polis bagi mengesahkan sama ada jambatan itu selamat untuk dilalui,” katanya ketika ditemui.

Shamsudin turut mengingatkan orang ramai supaya tidak berada di tebing sungai ketika air deras kerana ini akan membahayakan keselamatan sekiranya berlaku runtuhan tebing.



Katanya, mereka perlu peka dan sedar banjir yang berlaku kebelakangan ini adalah kejadian di luar jangkaan kerana arus deras selain ia membawa bersama bongkah kayu besar.

“Janganlah kita jadikan tempat-tempat ini sebagai tempat riadah baharu untuk mengambil gambar-gambar kerosakan sehingga melupakan keselamatan diri kita.

“Kita tak tahu mungkin di atasnya nampak cantik tetapi di bawahnya sudah berlubang dan sebagainya sehingga boleh mengakibatkan tanah runtuh kerana kawasan yang ditenggelami air sudah tentunya lembut dan boleh runtuh pada bila-bila masa,” katanya.

BHOnline




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading