UKM-Bank Rakyat jalin kerjasama
Prof. Datuk Dr. Norazah Mohd Nordin (tiga dari kiri) dan Abdul Razak Abu Bakar (tiga dari kanan) pada Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Dana Wakaf Tunai di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Rohana Man
KUALA LUMPUR – BANK Rakyat dan Yayasan Canselor, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memperkukuhkan kerjasama strategik melalui pelaksanaan Projek Wakaf Tunai UKM-Bank Rakyat baru-baru ini.
Kerjasama itu dimeterai melalui Memorandum Perjanjian (MoA) Projek Wakaf Tunai UKM-Bank Rakyat yang antara lain bertujuan menyediakan saluran dan pengurusan kutipan wakaf tunai yang mampu memantapkan kutipan wakaf di UKM.
MoA itu dijangka dapat membantu universiti tersebut mengurangkan kebergantungan kepada geran kerajaan, selain membantu UKM mempromosi, mengumpul dan bersama mengurus serta mentadbir dana wakaf tunai yang diterima.
Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat UKM, Prof. Dato’ Dr. Norazah Mohd Nordin berkata, kerjasama itu bakal memberikan manfaat kepada masyarakat khususnya warga UKM yang ingin berwakaf, sesuai dengan naratif baharu UKM sebagai Universiti Watan.
Menurutnya, kerjasama itu membolehkan kutipan wakaf dilakukan di semua kaunter cawangan Bank Rakyat di seluruh negara dan platform lain yang disediakan Bank Rakyat.
“Saya harap ia mampu menarik minat lebih ramai filantropi di negara kita untuk menjadikan UKM sebagai saluran untuk berwakaf.
“Wakaf tunai yang diberikan akan disalurkan untuk tujuan kebajikan, pendidikan dan pembangunan yang memberi manfaat kepada orang ramai, khususnya warga UKM,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Pertukaran Dokumen MoA di Menara Berkembar Bank Rakyat di sini, baru-baru ini.
Dr. Norazah berkata, kerjasama itu juga bakal membantu mengembangkan industri wakaf di Malaysia serta memartabatkan wakaf sebagai salah satu instrumen kewangan Islam terpenting dalam menyelesaikan masalah ekonomi dan negara secara dinamik.
Sementara itu, Ketua Pegawai Susulan dan Kutipan Bank Rakyat, Abdul Razak Abu Bakar berkata, wakaf boleh memainkan peranan penting dalam usaha negara untuk membangunkan ekonomi dan menangani masalah ketidaksamarataan dalam masyarakat terutamanya dalam akses pendidikan dan kesihatan berkualiti.
“Kerjasama ini juga merupakan tanggungjawab sosial korporat Bank Rakyat sebagai satu-satunya institusi perbankan yang beroperasi sepenuhnya secara patuh syariah.
“Selain melestarikan usaha membangunkan wakaf di Universiti Awam, usaha ini juga mendorong pembangunan industri wakaf di Malaysia agar lebih progresif dan efesien dari segi urustadbir, akauntabiliti dan transparensi,” ujarnya.
Sementara itu, kenyataan media yang dikeluarkan Bank Rakyat berkata, hasil dan manfaat yang diterima daripada pelaburan itu akan diagihkan kepada warga UKM.
Kenyataan itu juga menyebut, usaha berkenaan adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan Bank Rakyat untuk mendorong pembangunan Keluarga Malaysia yang mapan dan adil, sejajar dengan visi bank untuk menjadi Bank Koperasi Islam Progresif No. 1 di Malaysia.
Sebelum ini, Bank Rakyat telah menandatangani Perjanjian Usahasama Dana Wakaf bersama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu serta menjalin kerjasama dengan Yayasan Waqaf Malaysia serta Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur.
“Bank Rakyat berharap agar kerjasama antara institusi wakaf, institusi perbankan Islam dan sektor korporat secara tidak langsung dapat memupuk imej positif dalam pengurusan wakaf yang seterusnya akan menambah keyakinan masyarakat terhadap institusi wakaf,” kata kenyataan itu.