ATM bawa makanan, keperluan asas ke Terengganu esok

KEMAMAN: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata trak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membawa bekalan makanan dan keperluan asas digerakkan ke Terengganu esok.

Timbalan Perdana Menteri berkata langkah itu sebagai persediaan hadapi gelombang kedua banjir.

“Kerajaan akan mengambil langkah-langkah kesiapsiagaan yang optimum di samping mengkoordinasi semua agensi dan badan kebajikan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan banjir di Kampung Bukit Mentok di sini hari ini.



Turut menyertai tinjauan timbalan perdana menteri adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal Datuk Seri Dr Ahmad Said, Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa dan Timbalan Ketua Pengarah Operasi JBPM Datuk Abdul Wahab Mat Yasin.

Ahmad Zahid berkata selain itu, koordinasi bersama Kementerian Kesihatan turut dilaksanakan bagi pemantauan penyakit semasa banjir dan pascabanjir.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Pusat berkata setiausaha kerajaan negeri dan pegawai daerah di lapan daerah di Terengganu telah diminta supaya mengingatkan penduduk agar segera berpindah apabila diminta berbuat demikian oleh pihak berkuasa.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata Kelab Putra Malaysia di bawah Biro Kebajikan UMNO juga telah menghantar tiga treler yang membawa bantuan makanan bernilai RM180,000 ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kemaman hari ini.



“Kita libatkan Biro Kebajikan UMNO kerana kita faham tentang masalah kekurangan kakitangan agensi kerajaan terutamanya Jabatan Kebajikan Masyarakat,” kata Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu hari ini memaklumkan jumlah mangsa banjir terus meningkat daripada 36,009 orang pada 12 tengah malam tadi kepada 36,231 orang pagi ini.

Di Kemaman sahaja, seramai 7,364 mangsa membabitkan 1,971 keluarga dipindahkan di 24 PPS.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button