GALAK IBU MUDA MENYUSUKAN BAYI

 

RAJA Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Pusat Susu Bonda Halimatussaadia di Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Kuantan, Pahang baru-baru ini.

Rohana Man



Sempena Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia

MINGGU Penyusuan Susu Ibu Sedunia disambut pada setiap minggu pertama Ogos setiap tahun. Antara lain sambutan itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu-isu berkaitan susu ibu.

 

Di Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kubang Kerian, Kelantan, sambutan sederhana telah diadakan pada 4 Ogos lalu.



 

Timbalan Pengarah Klinikal, Hospital USM mewakili Pengarah Hospital USM, Prof. Madya Dr. Zaidi Zakaria berkata, sesuai dengan tema Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia pada tahun ini, Step Up For Breastfeeding,Educate And Support, penyusuan ibu perlu melibatkan sokongan pelbagai peringkat masyarakat dalam perkhidmatan kesihatan, tempat kerja dan komuniti secara optimum.

 

Sambutan itu diharap dapat meningkatkan kesedaran wanita, khususnya ibu muda mengenai manfaat penyusuan susu ibu.



 

Agak gusar pula apabila hampir 50 peratus ibu muda gagal meneruskan tempoh penyusuan ibu secara eksklusif selama enam bulan berikutan kurang kesedaran mengenai kepentingan susu ibu untuk bayi.

 

Kebanyakan ibu muda terbabit juga kurang kesedaran mengenai manfaat jangka panjang penyusuan ibu untuk bayi.



 

Memetik kenyataan Pakar Sakit Puan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Andorra, Dr. Khamsiah Muda yang disiarkan dalam sebuah akhbar tempatan, pemerhatiannya mendapati kebanyakan ibu muda yang mendapatkan pemeriksaan selepas bersalin di hospital itu hanya menyusukan bayi selama sebulan sebelum membuat keputusan untuk mencampurkan dengan susu formula.

 

Laporan itu menyebut kebanyakan ibu muda terbabit memilih untuk mencampurkan susu formula kerana kebanyakan mereka tidak mampu berdepan cabaran penyusuan ibu.



Antara cabaran yang dikenalpasti ialah tiada motivasi untuk meneruskan penyusuan ibu dan tidak cuba mengatasi masalah di awal penyusuan ibu.

 

“Kebanyakan ibu muda tidak mempunyai pengetahuan tentang teknik penyusuan dan hisapan bayi yang betul,” katanya.

 



Beliau menambah, antara cabaran yang perlu ditempuh ibu muda untuk menyusukan bayi adalah pengeluaran susu yang lambat dalam tempoh tiga hari pertama kelahiran, salur susu belum terbuka dan bengkak susu.

 

“Ibu muda perlu tahu mengatasi cabaran tersebut dengan meminta pandangan daripada mereka yang berpengetahuan dan berpengalaman tentang apa yang perlu dilakukan,”ujarnya.

 

Selain cabaran itu, ibu muda yang berkerjaya turut mengalami masalah untuk menyusukan bayi mereka kerana tidak berada di rumah untuk satu tempoh yang panjang sewaktu keluar bekerja.

 

Namun itu bukanlah masalah besar kerana ibu terbabit boleh mengeluarkan susu menggunakan alat khas dan memasukkannya ke dalam botol sebelum disimpan di dalam peti sejuk di pejabat. Boleh dikatakan semua pejabat termasuk sektor industri kini mempunyai kemudahan peti sejuk untuk kegunaan pekerja.

 

Apabila waktu kerja tamat, ibu terbabit boleh membawa balik susu tersebut dengan memasukkannya ke dalam beg sejuk beku bagi mengelakkannya rosak sepanjang perjalanan pulang ke rumah.

 

Sementara itu, carian maklumat daripada Facebook Public Health Malaysia mendapati banyak usaha telah dilakukan kerajaan menerusi kempen yang dijalankan pelbagai pihak terutama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk meningkatkan kesedaran wanita, khususnya ibu-ibu muda untuk menyusukan bayi.

 

Menurutnya, KKM telah mengatur dan melaksanakan pelbagai strategi bagi mempromosikan penyusuan susu ibu secara eksklusif termasuk galakan melalui inisiatif Hospital Rakan Bayi.

 

Hospital Rakan Bayi adalah inisiatif global Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Tabung Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) yang bertujuan untuk memastikan setiap bayi mendapat permulaan kehidupan terbaik melalui persekitaran yang menyokong penyusuan susu ibu.

 

Kini setiap ibu berpeluang menyusukan bayi berikutan pembukaan secara rasmi bank susu patuh syariah pertama di Malaysia iaitu Pusat Susu Bonda Halimatussaadia di Pusat Kesihatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (SASMEC@IIUM), Kuantan, Pahang.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan merasmikan pusat itu pada 26 Julai lalu di SASMEC@IIUM, Kuantan, Pahang.

SASMEC@IIUM dalam kenyataan media baru-baru ini memaklumkan idea penubuhan pusat susu itu bermula pada akhir 2019 sebagai sebahagian daripada inisiatif hospital mesra bayi dengan penyelidikan meluas termasuk mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) yang komprehensif bagi mematuhi maqasid syariah dalam memelihara bukan hanya nyawa, malah keturunan, harta dan akal.

 

“Semua prosedur telah diteliti oleh pasukan terdiri daripada doktor Jabatan Obstetrik dan Ginekologi serta Jabatan Pediatrik, jururawat ahli mikrobiologi dan Jabatan Pematuhan Syariah.

 

“SOP yang dibuat juga mengandungi garis panduan lengkap yang memperincikan keseluruhan proses daripada pengambilan bakal penderma susu sehingga penyusuan susu penderma kepada bayi,” kata kenyataan itu.

 

Kenyataan itu turut menyebut aplikasi digital i-Milk juga dicadangkan sebagai tambahan untuk memastikan jumlah susu penderma yang diberikan kepada bayi baru lahir mematuhi syariah dan keturunan susu ibu terpelihara.

 

Selain itu, pasukan penyelidikan terlibat juga telah melawat sebuah bank susu ibu di Hospital Queen Elizabeth di Glasgow, Scotland bagi mempelajari kemahiran teknikal dalam mewujudkan dan menyelenggara bank susu ibu.

BERIKUT KEBAIKAN SUSU IBU

 

Penyusuan susu ibu sangat digalakkan berbanding pemberian susu formula. Selain mengeratkan pertalian ibu dan anak, ada bahan-bahan yang tidak terdapat di dalam susu formula, terutamanya antibodi untuk menentang penyakit.

 

Antara kebaikan penyusuan susu ibu adalah:

 

– Susu awal ibu mengandungi colostrum yang mengandungi serum, sel darah putih dan antibodi yang memberikan perlindungan kepada bayi. Bayi baru lahir mempunyai daya tahan penyakit yang sangat lemah. Jadi, penyusuan susu ibu dapat mengawal bayi daripada jatuh sakit seperti cirit-birit, dan infantile eczema.

 

– Susu ibu mengandungi bahan-bahan lain yang penting seperti anti-allergik.

 

– Penyusuan susu ibu secara eksklusif mengeratkan pertalian atau hubungan antara ibu dan bayi.

 

– Membantu menjarakkan bayi. Ini kerana hormon prolactin yang penting semasa menyusukan bayi menyebabkan proses pengeluaran telur terbantut.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button