Wanita BN jangan leka
ANTARA ahli Wanita Barisan Nasional yang hadir pada Konvensyen Wanita Barisan Nasional di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.
Rohana Man
KUALA LUMPUR – Wanita Barisan Nasional (BN) sebagai penggerak Barisan Nasional perlu sentiasa bersedia dengan apa jua perubahan yang berlaku dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang dijangka tidak lama lagi.
Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, keputusan PRU-14 dan pandemik Covid-19 telah banyak mengubah corak kehidupan rakyat dan pentadbiran negara.
Menurutnya, perubahan itu datang dengan pelbagai rupa dan sebagai penggerak BN, kita perlu sentiasa bersedia dengan apa jua perubahan yang berlaku.
“Saya mengajak sahabat-sahabat Wanita BN untuk menjadi peneraju kepada perubahan politik dan pentadbiran negara yang akan datang serta tidak boleh leka kerana mandat baharu rakyat akan diterjemahkan pada bila-bila masa.
“Kita jangan leka kerana gendang perang telah lama dipalu. Justeru kita tidak ada banyak masa untuk terus bersikap sambil lewa. Sekarang ini bukan masanya lagi untuk kita sekadar memenuhi dewan-dewan ceramah.
“Wanita Barisan Nasional harus menjadi peneraju kempen dan memujuk pengundi untuk memberi sokongan kepada Barisan Nasional,” katanya dalam ucapan Pembukaan Konvensyen Wanita BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur hari ini.
Konvensyen Wanita BN turut dihadiri pemimpin utama parti komponen BN termasuk Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan, Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak, Ketua Wanita PBRS, Zainon Kayum, Ketua Wanita MIC Kebangsaan, Datuk Mohana Muniandy dan Ketua Wanita MCA Kebangsaan, Datuk Heng Seai Kie dan Timbalan Pengerusi Wanita BN, Datuk Norliza Abdul Rahim.
Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO berkata, pentadbiran politik kini begitu dinamik menyaksikan perubahan demi perubahan berlaku dengan kepimpinan kerajaan juga bertukar.
Menurutnya, BN mempunyai sejarah panjang dalam membangunkan negara, merangkumi aspek ekonomi, keselamatan dan kebajikan rakyat yang mana kesemua faktor itu tidak boleh dinafikan.
“Jika hendak disenaraikan satu persatu, terlalu panjang usaha yang telah kita lakukan. Ini tidak ada siapa boleh nafikan lagi,” tambahnya.
Dalam ucapan itu, Noraini juga berkata, BN beruntung kerana ketika kalah PRU-14, parti komponen BN masih mempunyai pemimpin yang tidak lari meninggalkan gelanggang.
“Dengan kepemimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohamad Hasan, Datuk Seri Wee Ka Siong, Tan Sri SA Vigneswaran dan Tan Sri Joseph Kurup, BN terus kekal relevan dan mempunyai tempat di hati rakyat,”katanya.