Ainul Mardhiah sedar dan stabil
KUALA LUMPUR : Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, kanak-kanak pernah menghidap barah mulut serta ditidurkan ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) selepas mengalami sawan luar biasa baru-baru ini, kembali sedar dan keadaannya dilaporkan stabil.
Bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak berkata ketika ini, Ainul juga kelihatan lebih bertenaga berbanding keadaannya dua hari lalu, ketika mula sedar.
“(Keadaannya) stabil. Dia sudah mula gerak-gerakkan anggota badan, cuma masih tak larat untuk duduk sendiri. Perlu bantuan untuk duduk buat masa ini.
“Mungkin lagi dua, tiga hari dia akan boleh bangun dan duduk sendiri. Doktor maklum sekarang dia tengah dalam fasa pemulihan kesan diserang sawan banyak kali (sebelum ini),” katanya ketika dihubungi hari ini.
Pada 1 Ogos lalu, ibu Ainul, Nurul Erwani Zaidi, 27, berkongsi keadaan anaknya itu yang dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.
Sejak itu, Ahmad Safiuddin dan Nurul Erwani terus berkongsi perkembangan Ainul Mardhiah di laman sosial untuk makluman rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan anak mereka.
Ainul Mardhiah pernah menjalani pembedahan di London bagi membuang tumor pada mulutnya seberat 200 gram pada 2019 dengan bantuan pelatih pakar bedah warga Malaysia, Dr Nur Amalina Che Bakri.
Dua hari lalu, Ahmad Safiuddin turut berkongsi perkembangan positif di akaun Facebook, memaklumkan Ainul sudah sedar dan tidak lagi bergantung kepada alat bantuan pernafasan.
BHOnline