Amy UK’s, selebriti asal Parit Sulong

AMY UK’S (tengah) bersama anggota lain kumpulan Ukay’s.

Rohana Man

KUALA LUMPUR – Kehebatan Parit Sulong bukan setakat pada kisah sejarah dan mistik yang mewarnai kehidupan harian penduduknya.



Malah pekan kecil yang terletak dalam daerah Batu Pahat, Johor itu turut mewarnai dunia seni tanah air menerusi kelahiran selebriti yang menempa nama menerusi kumpulan Ukay’s iaitu Amy UK’s.

Bermula sebagai pemain keyboard kumpulan Ukay’s, nama sebenarnya ialah Azmi Hassan dan turut dikenali sebagai Amy Ukay’s, Amy UK’s, Amy Okay, Amy MIG atau Amyza.

Beliau merupakan seorang pengarah muzik, penerbit, komposer, deejay radio, pengacara, pemuzik dan penyanyi.

Dilahirkan pada 1 Disember 1971 di Kampung Parit Laman, Parit Sulong, Batu Pahat, Johor, perjalanan kerjaya seni Amy UK’s tidak mudah.



Beberapa kali, beliau terpaksa menghadapi kumpulan yang berpecah-belah sehingga empat kumpulan iaitu Ukay’s dan UK’s (BMG Records, 1995-1997); Utama (Ambang Klasik, 1998) dan Okay (Okay Production, 1998-1999).

Sepanjang tempoh itu, Amy terlibat dalam pembikinan album di bawah naungan BMG Records & Mekar Production iaitu Bisa Berbisa (1994); Tajam Menikam (1995) dan Panas Berpanjangan (1996), serta album Utama (1998, Ambang Klasik); Okay-Rezeki (1998, Okay Production & Ambang Klasik) dan Kembali Berbisa-Uk’s (2010, Uk’s Records Entertainment).

Kumpulan Ukay’s mula menempa nama menerusi album Bisa Berbisa yang mengandungi lagu malar segar, Di Sana Menanti Di Sini Menunggu.

Namun perpecahan berlaku dan muncul dua kumpulan muzik pada 1996 iaitu satu kekal dengan nama Ukay’s dan satu lagi kumpulan baru ditubuhkan, UK’s.



Pada 1998, Ambang Klasik menubuhkan kumpulan Utama yang dianggotai ahli lama UK’s iaitu Amy, Amirul dan Daniel bersama Rahmad yang bertindak sebagai vokalis.

Sempat merakamkan album bertajuk Utama (sama seperti nama kumpulan), Amy kemudian meninggalkan kumpulan Utama dan meneruskan kerjaya sebagai komposer.

Akur dengan desakan peminat, Amy menubuhkan kumpulan baru iaitu Okay di bawah naungan syarikat pertama milik beliau, Okay Production.

Album Okay-Rezeki merupakan album pertama yang dicipta dan diterbitkan Amy sepenuhnya.



Okay dianggotai Aren (vokalis), Amy (gitar utama, penerbit album dan komposer), Raja Azren (dram) dan Hamdan (bass), Syukri (gitar kedua) pada 1998.

Antara lagu hits daripada album itu ialah Kurelakan Dikau Pergi, Nazaliza, Gelora dan Lumrah Percintaan.

Namun ketika di kemuncak kerjaya sebagai anak seni, vokalis utama iaitu Aren mengundur diri menyebabkan Amy ‘senyap’ dari dunia rakaman album.

Beliau dikatakan pulang ke kampung halamannya di Parit Sulong pada 1999 berikutan kegawatan ekonomi yang melanda negara dan dunia ketika itu.



Perkembangan terkini menyaksikan Amy aktif sebagai komposer dan merupakan individu yang menaikkan nama jutawan kosmetik Datuk Seri Vida menerusi lagu Ku Ikhlaskan.

Selain itu, Amy turut mencipta lagu untuk jutawan Datuk Aliff Syukri iaitu Kelepok Raya.

Dalam satu temubual dengan akhbar tempatan pada Mei lalu, Amy telah ditanya tentang bayaran yang diterima daripada kedua-dua jutawan tersebut.

Amy menjawab: “Tak adalah kaya sangat. Bolehlah lepas untuk bayar rumah, pejabat, studio dan lain-lain perkara berkaitan.



Sejak lagu Vida meletup, saya makin banyak ditawarkan buat lagu,”.

Dalam pada itu, Amy turut mencipta lagu untuk penyanyi Ifa Raziah dan Baby Shima.


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading