Semarak sambutan Merdeka di IPT

BAHAGIAN Hal Ehwal Pelajar UiTM Shah Alam meraikan sambutan hari Merdeka di Kolej Mawar baru-baru ini.

Rohana Man

KUALA LUMPUR – Institusi pengajian tinggi awam (IPT) tidak ketinggalan memeriahkan sambutan perayaan hari kemerdekaan negara yang ke-65 pada 31 Ogos ini dengan pelbagai acara diadakan di kampus universiti masing-masing.



Di Shah Alam, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) bersemangat menyemarakkan lagi bulan kemerdekaan menerusi program Kibaran Jalur Gemilang dan nyanyian patriotik.

Program yang dirasmikan Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar (TNC HEP), Profesor Dr. Mohd Sazili Shahibi itu dihadiri kira-kira 200 staf BHEP di Kolej Mawar, UiTM Shah Alam baru-baru ini.

Dalam ucapannya, Mohd Sazili berkata, program yang menerapkan nilai-nilai patriotisme seperti itu perlu sentiasa diteruskan, di samping penganjuran pelbagai aktiviti kemerdekaan yang dapat menarik minat serta memberi nilai tambah kepada mahasiswa dan komuniti setempat.



“Sejajar dengan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 iaitu Keluarga Malaysia Teguh Bersama, begitu juga nilai yang cuba diterapkan kepada warga UiTM khususnya BHEP dalam memastikan kakitangan HEP sentiasa teguh bersama dalam mengekalkan kemerdekaan yang kita kecapi kini,” katanya dalam kenyataan.

Pelbagai program kemerdekaan telah dirancang antaranya Konvoi Semarak Jiwa Merdeka HEP, Dialog HEP Prihatin Edisi Kemerdekaan dan Pertandingan Hiasan Kemerdekaan Terbaik Jabatan BHEP.

Majlis perasmian penutup sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2022 peringkat HEP UiTM akan diadakan pada pertengahan September 2022.

Di Kuala Lumpur, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) meraikan sambutan Hari Kebangsaan Ke-65 dengan melancarkan program Semarak Merdeka Keluarga Malaysia Peringkat UPNM baru-baru ini.



Majlis pelancaran program anjuran Pejabat Jaringan Industri dan Perhubungan Korporat (JIPK) itu diadakan di Dewan Bestari UPNM dengan kehadiran kira-kira 300 staf dan pelajar.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dr. Syed Azman Syed Ibrahim menyempurnakan majlis berkenaan.

Kemeriahan sambutan digegarkan dengan lagu-lagu patriotik seperti Jalur Gemilang, Kerana Mu dan Keluarga Malaysia.

Selain itu, kibaran bendera Malaysia dan nyanyian bersama-sama daripada peserta menambahkan lagi semangat cintakan tanah air.



Turut hadir Naib Canselor UPNM, Lt. Jen Datuk Hasagaya Abdullah, pengurusan tertinggi universiti, pengarah dan dekan Fakulti Pusat Jabatan Bahagian (FPJB), staf serta pelajar UPNM.

Di Pulau Pinang, Unit Perhubungan dan Kebajikan Staf, Bahagian Sumber Manusia, Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Jabatan Pendaftar menganjurkan 10 pertandingan bersempena sambutan kemerdekaan negara tahun ini.

Pertandingan itu adalah mencipta pantun, nyanyian lagu patriotik, deklamasi puisi kemerdekaan, lensa kemerdekaan, video pendek,hiasan motosikal, melukis dan mewarna, gubahan masakan, tiktok kemerdekaan dan aspirasi kemerdekaan.

Menurut kenyataan, pertandingan Sambutan Kemerdekaan Pasca Covid-19 Peringkat USM itu menawarkan hadiah bagi setiap kategori iaitu pemenang tempat pertama menerima RM300; tempat kedua RM200 dan tempat ketiga RM100.



“Pertandingan ini terbuka kepada staf dan ahli keluarga staf di kampus induk di George Town; Pusat Perubatan USM, Kampus Bertam di Kepala Batas; Kampus Kejuruteraan di Nibong Tebal dan Kampus Kesihatan di Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan,” kata kenyataan itu.

Mereka yang berminat menyertai pertandingan itu boleh melengkapkan borang dan muat naik bahan dalam ‘Microsoft Form’ dengan klik pada pautan https://pendaftar.usm.my/index.php/aktiviti/merdeka atau imbas sahaja Kod QR yang tertera di dalam poster.

Segala syarat penyertaan ada dinyatakan di dalam ‘Microsoft Form’ dan setiap individu boleh menyertai lebih daripada satu kategori pertandingan.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button