UUM santuni masyarakat Orang Asli Kensiu

Universiti Utara Malaysia memberi pendedahan kepada lebih 70 penuntutnya untuk merasai cara hidup masyarakat Orang Asli Kensiu selama tiga hari dua malam di Kampung Lubuk Legong, Baling, Kedah, baru-baru ini.

Oleh Azrin Muhammad

BALING – Lebih 70 penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) berpeluang turun padang menyelami keistimewaan gaya hidup masyarakat Orang Asli suku Kensiu menerusi Program Indigenous to Genius di Kampung Lubuk Legong, Baling, Kedah, baru-baru ini.



Pengarah programnya, Nur Afifah Kamal berkata, masyarakat Orang Asli Kensiu telah melalui asimilasi selama bertahun-tahun dari segi amalan agama, reka bentuk rumah, kaedah mencari rezeki menggunakan sungai termasuk tahap pendidikan.

“Para peserta didedahkan dengan cara kehidupan harian masyarakat setempat, di samping mewujudkan jalinan antara pelajar yang dilihat mampu menyemai semangat kesukarelawan dalam diri pelajar.

“Setelah dua tahun dilanda pandemik, ini merupakan program kemasyarakatan pertama yang dianjurkan Inap Siswa (Inasis) Bank Rakyat dengan kerjasama Pejabat Parlimen Baling dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA),” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Tambah Nur Afifah, pengalaman menjadi salah seorang perancang bagi program itu tidak dapat dilupakan khususnya apabila menjalani rutin harian masyarakat Kensiu di dalam hutan selama tiga hari dua malam.



Katanya lagi, peserta juga telah menyalurkan bantuan kepada masyarakat di kampung berkenaan dengan khidmat bakti membersihkan kubur, membaik pulih surau, bergaul dengan anak-anak Orang Asli serta memberi pakaian percuma.

“Saya percaya peserta bukan sahaja dapat merasai keseronokan menjadi sukarelawan, malah dapat mempelajari kemahiran Orang Asli menggunakan sumber alam untuk terus hidup seperti akar kayu,”katanya.

Sementara itu, sukarelawan, Ahmad Subhi Zolkafly turut berkongsi pengalaman menyaksikan sendiri perubahan suku Orang Asli yang dikatakan terdiri daripada kumpulan terkecil di dunia.

“Walaupun telah berasimilasi dengan kehidupan moden dan memeluk Islam, kebudayaan mereka tetap diamalkan tetapi telah diolah corak persembahannya daripada proses pemujaan kepada persembahan budaya agar dapat diwarisi anak cucu mereka.



“Bukan itu sahaja, pengalaman kami meneroka masuk ke dalam hutan di kawasan Baling juga tidak dapat dilupakan kerana peserta berpeluang mengenali pelbagai spesies akar kayu yang digunakan dałam rawatan tradisional,” katanya.

Dalam masa sama, Ahmad Subhi juga berharap program sedemikian dapat melahirkan generasi penyayang, bersatu padu dan berbudi luhur.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button