Tiga pelajar USM berjaya selesaikan Misi YSS

Misi Sukarelawan Siswa Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) – ASEAN Green Summer Volunteer Campaign (GSVC) telah diadakan di Vietnam selama sebulan pada Julai lalu.

Oleh Azrin Muhammad

GEORGETOWN – Tiga pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) selamat tiba di tanah air baru-baru ini selepas berjaya menyelesaikan tiga projek berimpak tinggi menerusi Misi Sukarelawan Siswa Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) – ASEAN Green Summer Volunteer Campaign (GSVC) Vietnam 2022.



Pelajar Tahun 3, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Muhammad Rahim Zaidi berkata, ketiga-tiga pelajar dibahagikan kepada tiga kawasan dengan misi yang berbeza.

“Saya telah ditempatkan di Tan Nhut Commune, Binh Chanh District bersama-sama 17 orang sukarelawan lain untuk menjalankan pembinaan jalan raya sepanjang 100 meter secara manual.

“Selain itu, kami juga telah melaksanakan projek Self-Assuredness di bawah Kluster Pendidikan dan projek Learn The Ocean di bawah Kluster Pemerkasaan Komuniti,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Terdahulu, Kementerian Pengajian Tinggi telah menghantar 70 pelajar IPT tempatan ke Vietnam dalam misi sukarelawan selama sebulan bermula 10 Julai lalu di empat buah kampung di daerah Binh Chanh, Nha Be, Can Gio dan Daerah 12.



Misi berkenaan merangkumi menyediakan aktiviti kemasyarakatan seperti program pendidikan percuma, pemeriksaan kesihatan percuma, projek pembangunan komuniti seperti menambahbaik prasarana sekolah dan kawasan rekreasi.

Sementara itu, Muhammad Rahim turut memberitahu sebanyak 53 projek berjaya diselesaikan sepanjang misi berlangsung di kawasan berkenaan dan akan memberi manfaat kepada sebahagian besar penduduk tempatan berteraskan kelestarian.

Ujarnya, pasukan berkenaan telah mendapatkan khidmat kontraktor tempatan untuk memudahkan ketua kampung mendapatkan pertolongan baik pulih sekiranya berlaku kerosakan pada masa hadapan.

Dalam perkembangan sama, pelajar Tahun 3, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Nur Husna Muhammad Hisham Chua berkata, Projek Self-Assuredness pula fokus kepada murid berumur enam hingga lapan tahun dengan pendedahan subjek Bahasa Inggeris.



“Penguasaan Bahasa Inggeris yang rendah dan lemah dalam kalangan kanak-kanak merupakan sebab utama projek ini dilaksanakan dan ia berlangsung menerusi tiga sesi selama tiga minggu.

“Impak program ini diukur melalui perkembangan murid setiap sesi dan setiap pembuktian telah direkodkan secara gambar pegun dan juga video,” katanya.

Tambahnya lagi, projek Learn The Ocean pula dilaksanakan dengan cara membuat mural di sekolah menggunakan motif lautan ekoran keadaan demografi di kawasan itu menunjukkan jauh dari laut.

Seorang lagi peserta, pelajar tahun pertama dari Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (HBP), Tan Boon Huang juga gembira dengan penerimaan penduduk terhadap projek yang dilakukannya.



“Pasukan saya mengendalikan program Interaktif Bahasa Inggeris dan Literasi Digital yang mendidik pelajar kampung tentang Bahasa Inggeris dan pengenalan kepada penggunaan beberapa perisian Microsoft Office seperti Word, Power Point, Excel, Message Box VBS dan lain-lain.

Boon Huang juga berpeluang mengambil bahagian dalam Cuisine Exchange yang melibatkan sukarelawan YSS, Sukarelawan Vietnam dan Pertumbuhan Wanita Vietnam.

“Saya berpeluang menyertai sesi memasak juadah Vietnam iaitu Banh Xeo, sejenis makanan seperti popiah yang di dalamnya diletakkan inti yang sangat enak,” katanya.




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading