Jangan leka, Atuk mula keluar sarang

Jangan leka, Atuk mula keluar sarang

 

ASYIK merancang soladariti berhubung nasib malang Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Rayuan yang masih berterusan, kini Tun Dr. Mahathir Mohamad mula muncul dengan konco-konconya.

Tindak-tanduk susuk tubuh yang hampir menjangkau usia satu abad itu tidak boleh dipandang enteng kerana Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu telah banyak beri pengajaran kepada pemain-pemain politik tanah air termasuk rakyat sendiri.

Mahathir yang dikenali sebagai Atuk sejak penggal lalu kini dilihat sudah mula membuka papan catur bagi mengorak strategi menerusi Gerakan Tanah Air (GTA).

Meskipun gerakan itu belum berdaftar secara rasmi, secara kasar kita boleh lihat ia mampu memberi kesan kepada mana-mana pihak yang cuba menentangnya.

Barisan Nasional (BN) pula kini dilihat sedang sibuk membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) mendapat tamparan hebat apabila ‘perjuangan’ Najib di Mahkamah Rayuan berkemungkinan menemui titik noktah.

Pelbagai gerakan solidariti telah dijalankan di Jalan Tunku Abdul Rahman (Sogo), Kompleks Mahkamah Jalan Duta serta Istana Kehakiman, Putrajaya menggunakan pakaian serba putih.

Landskap politik yang semakin berbelit seperti sekarang ini akan digunakan oleh Atuk untuk mengumpul sokongan sambil membuat beberapa siri serangan kepada BN, khususnya Najib.

Setakat ini, masih belum ada modal baharu yang Atuk gunakan selain daripada mengeluarkan kenyataan sinis berkaitan jenayah rasuah.

GTA DIGUNAKAN ATUK UNTUK SERANG NAJIB

Atuk juga dilihat sengaja membuat sidang akhbar menerusi GTA ketika media tempatan sedang sibuk mendedahkan perkembangan prosiding Najib di Mahkamah Rayuan.

Dalam masa sama, masyarakat juga perlu memahami permainan yang Atuk cuba lakukan kali ini apabila menggunakan sentimen menyatukan Melayu serta Islam berbanding elemen simpati dalam kempen pilihan raya lalu.

Tekanan kos sara hidup yang membebankan ketika ini tidak boleh dijadikan alasan untuk kita mudah termakan hasutan daripada pemain politik yang secara terang-terangan meraih kepercayaan dengan menyebarkan kebencian.

Penulis berpendapat masih awal untuk kita membuat penilaian tetapi usah leka dengan bom jangka yang mungkin boleh meletup pada bila-bila masa.

Presiden BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga baru-baru ini menjadi mangsa serangan pihak pembangkang berhubung kes projek kapal tempur persisir (LCS) sejak bulan lalu.

Pembangkang bertubi-tubi menggunakan LCS sebagai modal meskipun laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) tidak menyatakan wujudnya rasuah, perolehan dan kewangan.

Penulis yakin kewibawaan Najib dan Ahmad Zahid yang masih berpengaruh dalam UMNO merupakan tiang yang perlu dirobohkan pada kaca mata Atuk dan pembangkang yang lain sebelum PRU-15.




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading