Segerakan PRU atau BN akan kalah – Zahid
Oleh – Baktiar Omar
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini secara terbuka meminta agar PRU15 disegerakan bagi mengelakkan kekalahan berulang.
Beliau menulis mengenai perkara tersebut di facebook rasminya pagi ini.
Serangan oleh Pakatan Harapan secara konsisten terhadap Umno, BN bukanlah perkara baru namun ia perlu ditangkis segera.
Rakyat sudah tidak boleh lagi dimomokkan dengan pelbagai tohmahan kononnya Umno/BN sebuah parti yang hanya ‘laparkan’ kuasa.
Bukan sahaja Pakatan Harapan yang menyerang Umno/BN, malah parti lawan dari Perikatan Nasional turut mengambil peluang untuk senada dengan PH.
Kebimbangan pembangkang dapat dilihat apabila bekas Perdana Menteri PH terpaksa mengakui bahawa pendirian Umno yang mahukan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan lebih awal kerana yakin rakyat masih memandang tinggi terhadap parti itu.
Mungkin bagi sesetengah pihak apa yang disuarakan Zahid hanyalah helah politik namun bila dipandang dari perspektif ekonomi, mandat baru untuk kerajaan amat diperlukan.
Ini bagi membolehkan keyakinan pelabur dikembalikan apabila sebuah kerajaan yang stabil berjaya dibentuk melalui mandat rakyat.
Inflasi yang melanda turut akan mempengaruhi perkembangan ekonomi negara sekaligus menentukan samada Malaysia akan terus mengalami masalah ekonomi atau tidak.
Rakyat hari ini bukanlah rakyat yang boleh disogokkan dengan cerita ‘khayalan’ serta poster yang kononnya Malaysia telah berjaya mencapai tahap yang baik.
Perlu diingatkan, kerajaan hari ini berdepan dengan konflik yang cuba diselindungkan namun ‘bau bangkai tidak boleh ditutup dengan nyiru’.
“Hak saya dinafikan” – Najib Razak