Walaupun jasad dipenjara, semangat Najib terus membara – Zahid
KUALA LUMPUR: UMNO terkilan kerana proses dan ruang untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mempertahankan dirinya terutama usaha mengemukakan bukti baharu dan penangguhan bagi membolehkan pasukan pembelaannya membuat persiapan dinafikan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata bagaimanapun bagi UMNO, keputusan Mahkamah Persekutuan semalam tidak akan dapat memadamkan jasa besar Najib sebagai Perdana Menteri yang membawa Malaysia ke mercu kejayaan dan meletakkan negara di persada sebelum disuramkan oleh kegagalan dua kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
“Keluarga besar UMNO melahirkan rasa dukacita atas pengakhiran keputusan perbicaraan Datuk Seri Najib Razak yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022.
“Walau jasad dipenjara, semangat dan daya juang mantan Presiden UMNO itu dalam usaha mempertahankan dirinya serta tampil berada di barisan hadapan untuk melonjakkan semula citra UMNO sehingga mampu bangkit semula selepas kekalahan PRU-14, akan tetap membara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.
Beliau berkata, sabitan itu selamat bagi semua tujuh pertuduhan dan hukuman dikenakan tidak keterlaluan.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan, UMNO akan terus bersama Najib dalam perbicaraan kes lain yang sedang dihadapi bagi menjamin beliau mendapat keadilan dan tidak dimangsakan dengan tekanan politik.
“Kepada seluruh ahli UMNO, kita perlu bertenang dan tanamkan tekad, segala kepincangan dalam sistem untuk menjamin keadilan, akan menjadi salah satu agenda untuk diperbetulkan.
“Ini termasuklah pendedahan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, mengenai campur tangan politik Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) terdahulu dalam pelantikan hakim dan perjalanan sistem perundangan negara,” katanya.
BHOnline