Projek ikan Nemo dapat pengiktirafan MBOR
Empat peserta program Bidong Merdeka Dive 2022 menunjukkan ikan-ikan Nemo yang akan dilepaskan di perairan Pulau Bidong, Terengganu baru-baru ini.
Rohana Man
KUALA LUMPUR – Pelepasan 1,270 ikan Inggu di perairan Pulau Bidong mendapat pengiktirafan The Malaysia Book of Records, sekali gus melakar sejarah di negeri Terengganu.
Projek yang pertama seumpamanya di negara ini merupakan acara kemuncak penganjuran program Bidong Merdeka Dive 2022 di perairan pulau itu baru-baru ini.
Acara tahunan itu diadakan di Pusat Penyelidikan Alami Marin UMT, Pulau Bidong sejak tahun 2008.
Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Datuk Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata, gimik pelepasan ikan Inggu itu adalah simbolik kepada kebebasan tanah air daripada penjajahan Inggeris sempena sambutan kemerdekaan negara yang ke-65, selain bersesuaian dengan tema penganjuran program, Dive For Freedom.
Menurutnya, penganjuran program itu juga sejajar dengan matlamat kempen pemuliharaan hidupan marin.
“Bidong Merdeka Dive 2022 juga adalah medium penyebaran ilmu tentang pemuliharaan khazanah yang terancam di dasar laut, kepentingan pemuliharaan ekosistem marin dan secara tidak langsung, ia dapat meningkatkan ekonomi Terengganu melalui kemasukan pelancong,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Komunikasi Korporat UMT baru-baru ini.
Bidong Merdeka Dive 2022 dianjurkan UMT dengan kerjasama Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu sempena pelancaran Terengganu Dive Month 2022 baru-baru ini.
Kira-kira 200 penyelam skuba dari seluruh negara turut menyertai program tersebut.
Di lautan semula jadi, ikan Inggu (clown fish) yang juga dikenali ikan badut secara simbiosis bersama ‘sea anemone’ yang mempunyai sel ‘nematocysts’ yang berupaya menyengat dan melumpuhkan pemangsa ikan Inggu.
Ikan ini lebih popular dengan nama Nemo selepas filem Finding Nemo ditayangkan di pawagam seluruh dunia pada 2003.
Mengulas lanjut, Dr. Mazlan berkata, kesemua ikan itu ditetaskan dan diternak di Pusat Penetasan Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (AKUATROP) UMT setelah beberapa siri kajian dan penyelidikan dijalankan sejak 2017.
Dalam pada itu, beliau berkata, UMT sebagai universiti berfokus amat menitikberatkan isu-isu berkaitan hidupan marin serta alam sekitar.
“UMT sebagai sebuah universiti berfokus dalam bidang marin mengambil serius mengenai kepentingan konservasi alam sekitar marin yang perlu diserapkan kepada masyarakat bagi membentuk lebih ramai generasi yang berpengetahuan dan mempunyai kesedaran tinggi terhadap kepentingan menjaga kelestarian ekosistem,”ujarnya.
Dr. Mazlan juga berkata, kerjasama dan sokongan tenaga, kepakaran dan juga kewangan daripada badan kerajaan, korporat swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan perseorangan amat diperlukan bagi merealisasikan program ini, seterusnya mempromosi aktiviti pemuliharaan alam sekitar dan khazanah dasar laut milik negara yang dicintai.
Sementara itu, penganjuran program ini turut mendapat sokongan padu daripada Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu bagi mempromosikan aktiviti selam skuba sebagai agenda pelancongan negeri.
Pengarahnya, Fadli Yusof Zakaria, berkata, program itu juga bertujuan mendedahkan peserta mengenai program pemuliharaan khazanah yang terancam di dasar laut dan ekosistem marin.
“Ia secara tidak langsung membantu meningkatkan industri pelancongan berasaskan alam semula jadi,” katanya.
Menurut Fadli, program Bidong Merdeka Dive adalah satu daripada empat acara yang diatur sempena penganjuran Terengganu Dive Month yang bermula 15 Ogos hingga 15 September 2022.
Tambahnya, pihaknya menyasarkan kedatangan kira-kira 1,000 penyelam skuba untuk menyertai pelbagai kempen yang telah diatur sepanjang bulan ini, antaranya program di Pulau Tenggol, Dungun; Pulau Kapas, Marang dan Pulau Perhentian, Besut.
“Secara tidak langsung, program ini dapat memperkasakan kempen promosi pelancongan pulau kepada pengunjung, selain mengukuhkan jenama pulau-pulau peranginan terkenal di Terengganu sebagai destinasi selam skuba terbaik di peringkat global,” katanya.