Pemuda UMNO jangkau usia 73 tahun
Senarai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.
Oleh Azrin Muhammad
TIDAK dinafikan sesebuah gagasan akan bertahan untuk jangka masa panjang apabila mempunyai barisan pelapis yang mantap.
Itulah yang dilakukan parti tertua UMNO yang menubuhkan sayap pemuda pada 26 Ogos 1949 di Pulau Pinang.
Menggunakan nama Perikatan Pemuda UMNO, Tun Hussein Onn dipilih sebagai ketua pemuda yang pertama sebelum beralih tangan ke Tun Abdul Razak Hussein.
Sebenarnya, UMNO telah mendengar suara generasi muda sejak dahulu lagi.
Buktinya apabila mereka mahu menukar seruan Hidup Melayu menjadi Merdeka dalam mesyuarat setengah tahun pada 14 Februari 1951.
Dalam Perhimpunan Agung UMNO pada 25 dan 26 Mac 1951, seruan Merdeka iaitu idea orang muda pada ketika itu secara rasmi telah mula digunakan.
Perikatan Pemuda UMNO juga aktif menjelajah ke seluruh Semenanjung untuk meraih sokongan orang Melayu terhadap UMNO sejak tahun 1951 di bawah kelolaan Tun Sardon Jubir dengan objektif menuntut kemerdekaan dan mentadbir negara sendiri.
Kelantangan Perikatan Pemuda UMNO juga terbukti dalam beberapa peristiwa, antaranya desakan terhadap ahli UMNO yang ada di dalam Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan Tanah Melayu untuk meninggalkan kerusi sekiranya kerajaan penjajah enggan mengadakan pilihan raya persekutuan pada tahun 1954.
Tidak terhenti di situ, mereka ini juga sangat aktif membangkitkan soal ekonomi, pelajaran, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama rasmi serta hak-hak orang Melayu.
Salah satu fakta menarik yang ramai tidak tahu adalah Perikatan Pemuda UMNO adalah penyebab tarikh kemerdekaan Malaya dipercepatkan kepada 31 Ogos 1957.
Oleh sebab itu, Tunku Abdul Rahman mengetuai rombongan Parti Perikatan diterbangkan ke London untuk berunding dengan pihak British.
Pada tahun 1955 pula, nama Perikatan Pemuda UMNO telah ditukarkan menjadi Pergerakan Pemuda UMNO menerusi pindaan Perlembagaan parti dengan tujuan merapatkan jurang antara ahli UMNO yang lain.
Selepas pilihan raya pada tahun 1964, usaha untuk menarik lebih ramai belia Melayu menyertai Pemuda UMNO diberikan keutamaan sehingga terbitnya sebuah buku Revolusi Mental tahun 1968 yang menekankan petunjuk berbentuk intelektual yang menyentuh keperibadian orang Melayu.
Pergerakan ini mencapai zaman kemuncak dengan nama jolokan ‘Pressure Group’ pada tahun 1969, khususnya selepas pilihan raya kerana ketika ini masing-masing ‘dirasuk’ oleh semangat radikal.
Ketika itu, mereka sangat agresif mendedahkan pelbagai masalah dalam kalangan masyarakat sehingga mendapat perhatian kerajaan.
Pergerakan Pemuda UMNO mula mendapat nafas baharu pada tahun 1982 di bawah pimpinan ketuanya iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi penglibatan dalam isu antarabangsa termasuk menarik minat golongan intelek dan profesional.
Terlalu banyak jasa gagasan ini terhadap perkembangan Malaysia sebagai sebuah negara maju, ia sudah bermula sejak zaman sebelum merdeka lagi.
Dengan usia yang sudah menjangkau 73 tahun, kita perlu sedar bahawa pengalaman yang ada pada pergerakan ini termasuk UMNO boleh menjadi titik tolak kepada kita untuk membuat pilihan tepat setiap kali menghadapi pilihan raya.
KETUA-KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO:
1. Tun Hussein Onn (1949 – 1951)
2. Tun Abdul Razak (1951)
3. Tun Sardon Jubir (1951 – 1964)
4. Datuk Senu Abdul Rahman (1964 – 1971)
5. Datuk Harun Idris (1971 – 1976)
6. Tan Sri Syed Jaafar Albar (1976 – 1977)
7. Datuk Hj. Suhaimi Kamaruddin (1977 – 1982)
8. Datuk Seri Anwar Ibrahim (1982 – 1987)
9. Datuk Seri Najib Razak (1987 – 1993)
10. Tan Sri Rahim Tamby Chik (1993 – 1994)
11. Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (1996 – 1998)
12. Datuk Seri Hishamuddin Hussein (1999 – 2008)
13. Khairy Jamaluddin (2008 – 2018)
14. Dato’ Dr. Asyraf Wajdi bin Dato’ Dusuki (2018 – Kini)