UMNO sedih nasib Najib, tapi tidak akan anjur demonstrasi jalanan

PONTIAN: UMNO tidak akan mengajak ahlinya berdemontrasi di jalanan seperti yang dilakukan penyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998, apabila pemimpin itu dipenjarakan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata parti itu berduka atas nasib Datuk Seri Najib Razak yang disifatkan sebagai negarawan berjasa, namun tidak akan melakukan tindakan yang bertentangan dengan undang-undang.

“UMNO berduka, tetapi tetap tenang. UMNO tidak akan mengajak ahli parti turun ke jalanan untuk berdemontrasi seperti penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998 apabila beliau dijatuhkan hukuman penjara.



“Seperti dinyatakan oleh Presiden, ahli parti perlu bertenang dan tidak melakukan tindakan yang bertentangan dengan undang-undang dan sebagainya.

“Tajuk berita muka hadapan BH hari ini, ‘UMNO Ok tanpa Najib’, namun kita sebenarnya berduka. Apatah lagi apabila rakan kita dikenakan tindakan sebegitu rupa dan di media sosial pula penuh dengan pelbagai kenyataan merujuk kepada kes berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Ziarah Kasih di Kampung Parit Mokhayat , Ayer Baloi, di sini, hari ini.

Selasa lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta terhadap Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.



Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Mengulas mengenai taklimat khas Presiden UMNO yang akan diadakan pada petang esok di ibu negara,

Ahmad Maslan, yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, taklimat itu adalah bagi memberikan peluang kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menjelaskan isu terkini berkaitan parti.

“Terserah kepada Presiden untuk menjelaskan apa juga perkara kepada jemputan yang datang dengan tema pakaian adalah baju merah.



“Mereka yang diundang diharap dapat menghadirkan diri bagi mendengar sendiri isu penting yang akan disampaikan oleh Presiden UMNO nanti.

“Saya tidak menolak kemungkinan, tentunya satu daripada isu yang akan disampaikan Presiden adalah mengenai hukuman penjara 12 tahun yang dikenakan ke atas Datuk Seri Najib Razak, Selasa lalu,” katanya.

Ditanya sama ada UMNO bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15 ) tanpa Najib, Ahmad berkata, parti itu mempunyai pelbagai kaedah berkempen untuk memenangi hati pengundi.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button