Perlukah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dipinda?
Oleh – Azrin Muhammad
KEADAAN politik yang tidak stabil sejak kebelakangan ini membuatkan rakyat mengambil tahu pelbagai perkara termasuk kuasa Peguam Negara terhadap kes melibatkan kerajaan dan ahli politik.
Contoh terbaik yang kita boleh lihat adalah menerusi hasil tulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, My Story: Justice in the Wilderness.
Walaupun kesemua isu dan kisah yang terkandung di dalam buku berkenaan merupakan pandangan peribadi Tommy, tetapi apa yang kita boleh fahamkan adalah betapa besarnya pengaruh Peguam Negara.
Bukan kerja kita untuk memastikan tulisannya itu benar atau tidak, cuma persoalan yang timbul adalah sejauh mana dan sampai bila hal sedemikian akan menghantui pentadbiran undang-undang negara kita.
Sebelum itu mari kita lihat apakah peranan sebagai seorang Peguam Negara.
1. Penasihat perundangan Kerajaan Persekutuan
2. Ketua Pendakwa di bawah Kanun Acara Jenayah yang bertanggungjawab ke atas semua prosiding jenayah di Malaysia.
Salah satu perkara yang perlu diberi penekanan ialah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Peguam Negara mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan mahkamah syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera.
MOHAMAD HASAN PERNAH CADANGKAN KERAJAAN FIKIR SEMULA DUA REFORMASI PENTING
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sendiri secara realistik pernah mencadangkan kerajaan untuk memikirkan semula dua reformasi penting berhubung perkara terbabit.
Pelantikan Peguam Negara perlu dilaksanakan dengan lebih telus dan berwibawa kerana setakat ini, pelantikannya sebagai prerogatif mutlak oleh seorang Perdana Menteri dicalonkan oleh individu yang berkepentingan.
Malaysia perlu mempunyai tatacara pelantikan yang menepati segala ciri ketelusan dan kompetensi bagi jawatan berkepentingan awam dengan kuasa yang luar biasa, khususnya Peguam Negara.
Selain itu, kerajaan juga harus memisahkan kuasa antara jawatan Peguam Negara dengan Pendakwa Raya agar kuasa yang memusatkan semua perkara kepada seorang individu dapat dihadkan.
Sekiranya ia berlaku, Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan menjalankan fungsi berbeza dan sebarang salah guna kuasa dapat dielakkan.
Walau bagaimanapun, keadaan politik yang tidak stabil seperti hari ini membuatkan perkara 145(3) agak sukar untuk dipinda.
Pindaan hanya boleh dibuat dengan sokongan majoriti 2/3 di Dewan Rakyat, namun usaha ke arah matlamat berkenaan perlu difikir dan lakukan daripada saat ini.