UM nafi ambil kajian pelajar

Universiti Malaya membuat laporan polis ekoran dakwaan pelajar yang menuduh universiti itu mengambil kajian dan penyelidikan tanpa kebenaran.

 

Rohana Man



 

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) menafikan tuduhan yang tular di platform media sosial mengenai seorang pelajar antarabangsa yang sedang mengikuti pengajian ijazah doktor falsafah (PhD) menuduh penyelia beliau mengambil kajian penyelidikan yang dilakukannya tanpa kebenaran.

Ekoran penafian itu, universiti tertua di negara ini membuat laporan polis bagi membersihkan nama daripada tuduhan tidak berasas tersebut.

Pejabat Komunikasi Korporat UM ketika mengulas perkara tersebut berkata, pihak universiti telah membuat satu laporan polis bagi menafikan tuduhan pelajar terbabit dan sedang mengkaji tindakan perundangan yang bersesuaian.



Kenyataan itu menyebut laporan polis telah dibuat di Brickfields bagi menafikan dakwaan pelajar dari Yaman berusia 34 tahun itu.

“Adalah menjadi dasar universiti bahawa hasil penyelidikan dan hasil ilmiah merupakan hak milik universiti,” kata kenyataan itu.

Semalam tular di platform media sosial mengenai video berdurasi seminit yang memaparkan kekecewaan seorang lelaki mengenai kajian dan penyelidikan yang dibuatnya bagi menyempurnakan ijazah PhD di UM diambil oleh penyelia beliau tanpa kebenaran.

Pelajar terbabit yang mengambil kursus Bahasa Inggeris, mendakwa hasil kerja beliau selama dua tahun setengah sia-sia sahaja apabila apabia username dan password beliau telah ditukar tanpa pengetahuannya.



“Saya bina segala perisian, saya lakukan semua kajian di dalam dan luar UM. Bila saya hubungi penyelia, mereka beritahu bahawa projek itu kepunyaan UM,” dakwa pelajar terbabit dalam rakaman video yang dibuatnya sendiri.

Mengulas lanjut, Pejabat Komunikasi Korporat UM memberitahu bahawa pihak universiti telah memberi peluang dan sumber untuk membantu pelajar terbabit menyelesaikan PhD beliau, termasuk melanjutkan tempoh pengajian sebanyak tiga semester.

“Pelajar terbabit gagal menamatkan pengajian dalam tempoh maksimum 12 semester.

“Jadi, pihak universiti membantunya dengan memberinya peluang sebanyak tiga semester lagi,” tambah kenyataan itu sambil memberitahu pihak fakulti turut menaja yuran pengajiannya untuk tempoh tiga semester yang dilanjutkan itu.



Selain itu, pihak universiti berusaha membantunya dengan mengadakan beberapa sesi kaunseling, termasuk melantik penyelia tambahan.

Bagaimanapun, pelajar terbabit masih didapati tidak berupaya untuk menamatkan pengajiannya dalam tempoh pelanjutan yang telah diberi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan perkara tersebut daripada UM.

Beliau yang enggan mengulas lanjut berkata: “Ada (terima laporan), tetapi kes dirujuk ke Cheras.”



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button