KKM kaji kelonggaran guna pelitup muka
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) sedia mengkaji keperluan melonggarkan pemakaian pelitup muka seperti dilaksana Singapura.
Tanpa memperincikan tempohnya, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, memaklumkan kajian mengenainya akan dibuat.
“Kita akan kaji dan Insya-Allah akan diumumkan selepas kajian selesai,” katanya kepada BH, hari ini.
Beliau diminta mengulas gesaan beberapa pihak termasuk Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan pakar epidemiologi supaya KKM membuat keputusan berhubung kelonggaran pemakaian pelitup muka.
Ia berdasarkan beberapa indikator COVID-19 di negara ini yang terus menunjukkan penurunan, termasuk kemasukan pesakit ke fasiliti kesihatan.
Baru-baru ini, Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat bersama KKM yang diwakili Timbalan Menterinya, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.
Muhyiddin dilaporkan berkata, sudah ada kebiasaan dalam kalangan rakyat dan penduduk negara ini untuk memakai pelitup muka tanpa dipaksa.
Justeru, katanya, KKM tidak wajar lagi mewajibkan pemakaian pelitup muka, sebaliknya boleh terus digunakan jika orang ramai berasa ia lebih selamat.