Pertarungan dua ‘sifu’ Korea Selatan
KUALA LUMPUR: Keputusan undian Piala AFF 2022 yang meletakkan Malaysia bersama Vietnam dalam Kumpulan B harus satu pertembungan menarik.
Ia bakal menyaksikan pertembungan pertama Kim Pan Gon selaku pengendali Harimau Malaya dengan jurulatih Golden Star Warriors yang juga rakan senegaranya, Park Hang Seo.
Hang Seo memiliki rekod cemerlang berdepan Malaysia sejak mengemudi Vietnam pada 2017 apabila dia tidak pernah merasai kekalahan di tangan Harimau Malaya.
Pengendali berusia 64 tahun itu merekodkan lima kemenangan dan satu seri dalam enam pertembungan dengan Harimau Malaya sejak 2018 selain dia turut membantu Vietnam menjulang Piala AFF 2018.
Bukan sahaja di bawah kendalian Hang Seo, Malaysia sudah hampir lapan tahun tidak menang ke atas Vietnam selepas kali terakhir Harimau Malaya menewaskan Golden Star Warriors di separuh akhir kedua Piala AFF 2014.
Justeru, kepakaran Pan Gon menjadi taruhan utama Harimau Malaya untuk menamatkan badi berkenaan, sekali gus mencetuskan pertembungan menarik dua ‘sifu’ dari Korea Selatan itu.
Berdasarkan perubahan yang dibawa Pan Gon hingga berjaya memimpin Harimau Malaya menamatkan penantian 42 tahun layak ke pusingan akhir Piala Asia secara merit, tidak mustahil badi ke atas Vietnam juga dapat dileraikan.
Harimau Malaya bagaimanapun akan bertandang ke Vietnam untuk perlawanan yang dijadualkan berlangsung 27 Disember depan iaitu aksi ketiga bagi anak buah Pan Gon dalam Kumpulan B.
Sejarah menewaskan Vietnam 4-2 di Hanoi pada separuh akhir kedua Piala AFF 2014 dan layak ke final dengan agregat 5-4 mungkin boleh dijadikan sandaran buat Pan Gon untuk menjayakan misi meranapkan ego Hang Seo dan Golden Star Warriors.
Ketika mengulas mengenai keputusan undian kelmarin juga, pengendali berusia 53 tahun itu menjelaskan bahawa Harimau Malaya bersedia untuk berdepan mana-mana pasukan dan akan memberikan aksi terbaik pada Piala AFF kali ini.
Malah, beliau berkata kejohanan antarabangsa di Chiang Mai, Thailand pada bulan ini juga menjadi medan untuk mempersiapkan pasukan negara bagi menghadapi Piala AFF 2022.
“Saya fikir ini peluang terbaik berdepan pasukan kuat (kejohanan di Thailand). Mungkin juga kita akan dapat lihat muka baharu untuk diuji dan kami akan berikan yang terbaik untuk persiapan kali ini,” katanya.
Sebelum berdepan Vietnam, Harimau Malaya terlebih dahulu akan menentang Myanmar dan Laos pada 21 dan 24 Disember manakala aksi terakhir Kumpulan B berdepan Singapura (3 Januari).
BHOnline