Cari anak hilang hingga ke Bangkok tapi sudah meninggal
BANGKOK: Pasangan suami isteri warga Malaysia yang ke Bangkok untuk mencari anak lelaki yang hilang, tidak dapat menahan kesedihan apabila mengetahui pemuda itu sudah meninggal dunia pada 11 Mei lalu di Hospital Mae Sot berhampiran sempadan Thailand-Myanmar.
Lebih menyedihkan apabila Goi Chee Kong, 50, serta isteri berusia 45 tahun dari Ipoh, Perak, mendapat tahu bahawa anak sulung mereka, Zhan Feng, 23, dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan kerja.
Zhan Feng dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan orang dan diseludup ke Myawaddy, Myanmar, sebelum dipaksa bekerja untuk sindiket itu.
Pasangan suami isteri itu berlepas ke Bangkok pada 30 Ogos lalu dan dijadualkan ke Mae Sot pada hari berikutnya untuk bertemu anak mereka.
“Kami diberitahu anak kami sakit dan menerima rawatan di hospital. Jadi, saya bersama isteri ke Bangkok untuk membawa dia pulang ke Malaysia dan mendapatkan rawatan.
“Bagaimanapun, kami diberitahu dia meninggal dunia pada jam 2 pagi 11 Mei lalu. Doktor percaya anak saya didera sebelum ditinggalkan di hospital pada 11 April lalu,” katanya kepada Bernama, di sini.
Chee Kong memaklumkan, anaknya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu dengan menggunakan nama dan nombor pasport palsu.
Justeru, beliau berkata, pihak hospital tidak dapat menghubungi pihak kedutaan dan keluarga untuk membincangkan keadaan kesihatan serta rawatan anaknya itu.
“Disebabkan tidak mendapat rawatan lanjut, sebulan kemudian dia meninggal dunia. Jasadnya dikebumikan di tanah perkuburan di Si Racha di wilayah Chonburi,” katanya.
Beliau dan isterinya berharap dapat membawa pulang abu mayat anak mereka dengan secepat mungkin.
Namun, beliau perlu menjelaskan tunggakan bil hospital kira-kira RM40,000 sebelum boleh mendapatkan sijil kematian untuk menjalankan ujian DNA serta pembakaran mayat.
Dengan bantuan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chon Siang yang berada di Bangkok, satu kempen mengumpul dana telah dilancarkan pada Jumaat lalu.
Dalam tempoh hanya kira-kira 22 jam, sejumlah RM50,000 berjaya dikumpulkan yang akan digunakan untuk membayar bil dan yuran pembakaran mayat serta membawa abu mangsa pulang ke Ipoh.
Sementara itu, Chon Siang berkata, urusan pembayaran bil hospital akan dibuat pada Isnin bagi mendapatkan sijil kematian dan kebenaran menggali kubur.
“Kami berharap dapat membawa pulang abu ke Malaysia pada Khamis. Kami berharap semuanya akan berjalan lancar,” katanya.
Zhan Feng yang pelajar tahun akhir Institut Pendidikan Guru (IPG), dikatakan berlepas ke Bangkok untuk bercuti pada 19 Januari lalu dan bertemu rakan dikenalinya melalui media sosial.
Pemuda itu sepatutnya pulang ke Malaysia untuk menyambut ulang tahun kelahiran ibunya pada 5 Februari lalu.
Berikutan itu pada 7 Februari lalu, bapanya membuat laporan orang hilang.
Pada 31 Mac lalu, pemuda itu dikatakan menghubungi keluarga dan memberitahu dirinya berada di Mae Sot di wilayah Tak serta memerlukan RM80,000 untuk rawatan perubatan.
“Kami percaya sesuatu berlaku pada dia. Kami yakin dia sedang diperhatikan dan diancam. Dia meminta maaf kerana tidak dapat balik ke rumah.
“Dia berjanji akan balik semula setahun kemudian… sejak itu kami tidak mendengar apa-apa berita daripadanya,” kata Chee Kong.
Beliau percaya anaknya menjadi mangsa sindiket penipuan kerja, lalu membuat laporan polis pada 2 April lalu.
Sehubungan itu, beliau menasihati pencari kerja supaya tidak terperdaya dengan tawaran pekerjaan di luar negara dengan upah yang lumayan.
“Kami terima apa yang berlaku. Saya berharap apa yang menimpa anak saya, menjadi pengajaran kepada semua pencari kerja. Saya berharap perkara sama tidak akan berulang,” katanya.
BERNAMA