‘Telefon Rafizi diambil untuk analisis forensik digital’

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan tindakan menyimpan telefon bimbit milik Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli sebagai satu bentuk intimidasi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata tindakan itu adalah sebahagian proses siasatan bagi kesalahan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), bertujuan membolehkan analisis forensik digital dijalankan.

“Peranti akan dipulangkan selepas proses analisis dan siasatan selesai,” kata Acryl Sani dalam kenyataan, malam tadi.



Beliau berkata, Rafizi dipanggil dan dirakam percakapan pada 3 September lalu bagi membantu siasatan selepas laporan polis diterima berhubung kenyataan tular di aplikasi media sosial yang didakwa berunsur fitnah terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Acryl Sani berkata, bagi membantu siasatan, sebuah telefon bimbit bersama kad sim dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran yang disiasat, diambil dan disimpan oleh pihak polis bagi proses analisis forensik digital.

Katanya, PDRM juga sedang menyiasat laporan dibuat terhadap Dr Abdul Latiff dan sesi rakaman keterangannya sudah dijalankan.

“Proses siasatan bagi kedua-dua laporan polis adalah secara profesional tanpa sebarang bentuk tekanan seperti didakwa pihak tertentu.



“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan dan memberikan ruang kepada PDRM untuk menyiapkan kertas siasatan,” katanya.

Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam kenyataan media semalam meminta PDRM menghentikan tekanan dan gangguan terhadap Rafizi susulan tindakan merampas telefon bimbit timbalan presiden PKR itu ketika memberi keterangan berhubung dakwaan terhadap Dr Abdul Latiff semalam.

BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button