PM bakal umum kenaikan gaji penjawat awam

Oleh – Syeikh Baran


PM bakal umum kenaikan gaji penjawat awam
Anwar ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani di UITM Pulau Pinang, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan bakal mengumumkan berita baik berhubung kenaikan gaji penjawat awam selewat-lewatnya sebelum hujung tahun ini.

Katanya, kenaikan itu wajar dilaksanakan susulan struktur gaji penjawat awam tidak disemak sejak sekian lama.



“Perkara ini diteliti kerana kita mendengar keluhan daripada orang ramai khususnya penjawat awam.

“Alhamdulillah kita (barisan jemaah menteri) ada kesepakatan dalam hal ini dan Insya-Allah berita baik ini akan diumumkan dalam beberapa bulan akan datang, selewat-lewatnya pada belanjawan tahun ini.

“Saya tidak akan bagitau bila saya akan umum. Oleh itu dengar sampai habis (pembentangan belanjawan) itu nanti,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani di UITM Pulau Pinang, di sini hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.



Mengulas lanjut, beliau berkata, keputusan itu dibuat meskipun kerajaan sedang melakukan pelbagai inisiatif dalam mengurangkan defisit perbelanjaan negara.

“Kalau ada kepincangan, itu bukan salah golongan pekerja tetapi pengurusan kerajaan.

“Sementara kita betulkan salah guna kuasa golongan pemimpin, kita kena cari jalan naikkan gaji penjawat awam ini,” katanya.

Pada Februari lalu, media melaporkan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Dr Adnan Mat menggesa kerajaan menyegerakan kenaikan gaji penjawat awam berikutan kedudukan gaji semasa tidak lagi sepadan dengan kos sara hidup tinggi.



Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dilapor mengumumkan bahawa semakan pertama struktur gaji penjawat awam selepas 12 tahun akan dibentangkan semasa Belanjawan 2025 berikutan keputusan kerajaan untuk memansuhkan sistem pencen bagi pekerja baharu.

Mesyuarat bersama Perdana Menteri dilapor membincang dan menimbang inisiatif-inisiatif penambahbaikan Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) terutama aspek meningkatkan pendapatan boleh guna penjawat awam.

Sumber – KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button