Kerja tak glamor tapi pendapatan diterima lumayan
KUALA LUMPUR – Hampir 30 tahun berpengalaman sebagai penebar roti canai, Jafri Sani, 56, mengakui meminati kerjayanya sejak usia 19 tahun lagi.
Menyifatkan kerjaya sebagai penebar roti canai sebagai ‘profesion’ yang kurang diminati masyarakat kerana dianggap kerjaya tidak glamour tetapi mendatangkan pendapatan lumayan.
“Salah satu faktor kenapa saya minat menebar adalah kerana persaingan. Jika dibandingkan dengan bidang lain, ramai yang tak minat buat kerja ini.
“Sejak dulu lagi, kerjaya ini amat kurang diceburi belia biarpun permintaan roti canai adalah menu paling ditunggu pada waktu pagi.
“Mungkin juga sebab faktor berdiri lama, berpanas depan kuali, sarung baju biasa, kerjaya ini tidak diminati ramai. Anak muda zaman sekarang kena faham, roti canai sentiasa ada permintaan sejak dulu lagi. Jadi bila permintaan terhadap makanan ini tinggi, peluang pekerjaan dengan gaji lumayan juga pasti banyak,” ujar Jafri menurut laporan eksklusif Astro Awani semalam.
Walau bagaimanapun, Jafri lebih selesa untuk tidak menyebut angka gaji diterima namun mengakui jumlahnya lumayan.
“Kalau ditanya berapa angka penebar roti canai boleh terima setiap bulan, terpulang kepada pemilik kedai.
“Kalau rajin menebar lebih banyak gaji yang diterima. Dalam usia menghampiri 60-an, saya hanya mampu menebar lebih kurang 200 keping sahaja dalam sehari. Kalau zaman muda dulu, badan masih kuat dan tenaga masih banyak.
“Saya boleh menebar lebih banyak tetapi itu dulu. Sekarang saya buat mana yang termampu,” ucapnya lagi.
Sementara itu, Jafri kini dalam proses melatih anak bongsunya, Danial Jafri untuk meneruskan kerjaya sebagai penebar roti canai memandangkan bakat menebar sudah mula terserlah.
“Rancangan itu dah ada cuma tunggu masa yang sesuai untuk serahkan kuali pencanai ini kepada anak. Dia masih bekerja di sebuah syarikat swasta dan saya pula tidak memaksa untuk ambil alih tugas saya.
“Bila dia dah bersedia, saya berbesar hati untuk tinggalkan kerjaya lama yang amat saya cintai ini,” ujarnya.
Sebelum ini, Exco Majlis Belia Malaysia (MBM) Amir Syarifuddin Abdul Majid memaklumkan negara bakal berdepan kekurangan penebar roti canai selepas pekerjaan itu tidak lagi mendapat tempat dalam kalangan pekerja tempatan.
Ini kerana golongan belia lebih minat kepada pekerjaan berkaitan dengan teknologi serta media sosial yang dilihat lebih glamour dan menjana pendapatan tinggi.
© Astro Awani