Ibu dua anak didakwa terima deposit RM876,375

Sik: Peniaga didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 22 pertuduhan menerima deposit berjumlah keseluruhan RM876,375 tanpa lesen sah, sejak April lalu.

Tertuduh, Norsyazwany A Rahim, 23, dari Kampung Landak Hilir, Kupang, Baling, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Najwa Che Mat.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menerima deposit daripada 22 individu secara berasingan berjumlah antara RM2,500 hingga RM489,000 tanpa lesen sah mengikut Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758).



Tertuduh yang juga ibu kepada dua anak dituduh melakukan kesalahan itu di lokasi berasingan sekitar Baling antara 10 April hingga 2 Ogos lalu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM50 juta atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Ikmal Affandi Zulkifli, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohamad Salihen Mastor.

Pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM214,000 ke atas tertuduh bagi kesemua pertuduhan.



Bagaimanapun, Mohamad Salihen memohon agar jaminan dikurangkan berikutan tertuduh hanya berniaga sambilan dengan pendapatan tidak menentu selain perlu menguruskan dua anak berusia dua dan lapan bulan yang masih menyusu.

Najwa kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 bagi 21 pertuduhan manakala satu pertuduhan ditawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan jumlah keseluruhan wang jaminan ialah RM115,000 bersama dua penjamin.

Mahkamah turut memerintahkan agar tertuduh melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan pasport antarabangsa diserah kepada mahkamah serta menetapkan kes disebut semula pada 23 November depan.

Tertuduh bagaimanapun gagal membayar jaminan dan dihantar ke Penjara Pokok Sena.



Sementara itu, Mohamad Salihen yang ditemui selepas prosiding berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan semakan di Mahkamah Tinggi Sungai Petani terhadap jumlah jaminan yang ditetapkan hari ini.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button