Syarikat milik Nur Sajat ingkar keputusan mahkamah

Walaupun selepas mahkamah membuat keputusan Jun lalu, syarikat milik usahawan kosmetik Nur Sajat didakwa masih belum membayar penganjur sebuah pertandingan ratu cantik pada 2019 yuran tajaan sebanyak RM111,280.

Introducing Talent Sdn Bhd, penganjur Miss Grand Malaysia 2019, berkata Mahkamah Sesyen Shah Alam menyampaikan keputusan yang memihak kepadanya pada 8 Jun.

Katanya, Nur Sajat Aesthetics Sdn Bhd turut diperintahkan membayar faedah tahunan 5% dari tarikh writ saman difailkan sehingga jumlah itu dibayar sepenuhnya, serta kos tambahan RM1,301.



Dalam kenyataan, pengarah-pengarah Introducing Talent, Jude Benjamin Lisa dan Joshua O’Neill, mendakwa Nur Sajat Aesthetics telah mengikat kontrak dengan firma mereka untuk tajaan berjumlah lebih RM70,000, yang hanya separuh dibayar.

Mereka mendakwa, syarikat Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajad Kamaruzzaman turut menjanjikan RM30,000 lagi sebagai “pencantikan kosmetik” bagi pemenang, walaupun ini tidak pernah disampaikan.

Tambahnya, syarikat itu juga tidak memulangkan “barangan sensitif budaya” apabila diminta.

“Pada 20 Mei, dalam pengurusan kes, mahkamah berpuas hati bahawa penyampaian writ dan pernyataan tuntutan kepada defendan telah dilengkapkan,” kata mereka.



“Nur Sajat dan Nur Sajat Aesthetics direkodkan sebagai ‘tidak hadir’ dan tidak mencabar keputusan itu. Bagaimanapun, mereka masih belum memenuhi tuntutan penganjur.”

Oktober lalu, Nur Sajat memulakan kehidupan baharu di Australia selepas mendakwa tidak lagi selamat tinggal di Malaysia.

Masalahnya dengan pihak berkuasa bermula pada Januari 2021 apabila jabatan agama memanggilnya selepas didakwa menerima aduan awam.

Dia kemudian melarikan diri ke Thailand pada Februari tahun sama, di mana dia ditahan beberapa bulan kemudian oleh pihak berkuasa imigresen tempatan kerana didakwa memiliki pasport palsu.



Walaupun pihak berkuasa Malaysia cuba mengekstradisinya, dia dibebaskan dengan ikat jamin dan kemudian melarikan diri ke Australia, di mana dia diberikan suaka.

© Free Malaysia Today

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button