Bayaran hanya seikhlas hati
Marang: “Tiada bayaran khusus (untuk penghantaran jenazah) dikenakan, malah untuk asnaf adalah percuma, manakala bayaran hanya seikhlas hati untuk golongan berkemampuan.”
Begitu kata Che Mohd Ibrahim Che Ghani, 42, yang menguruskan Persatuan Kebajikan Pengurusan Jenazah Warga Terengganu (PJWT) di mana mereka sudah menguruskan sebanyak 861 jenazah membabitkan perjalanan ke seluruh negara sejak 1 Januari 2021.
Che Mohd Ibrahim dari Kampung Rhu Muda, dekat sini, berkata sehingga kini persatuan mempunyai enam kenderaan pelbagai guna (MPV) yang berfungsi sebagai van jenazah.
Katanya, kenderaan jenazah berkenaan masing-masing dua buah ditempatkan di daerah Kemaman dan Bukit Payung, Marang, manakala sebuah di daerah Kuala Nerus dan sebuah dikendalikannya sendiri bertempat di Bandar Marang.
“Ini adalah perjalanan hakiki menuju ‘negara abadi’ dan pekerjaan ini perlu dipikul dengan penuh amanah kerana membabitkan sumbangan orang ramai yang disalurkan supaya sampai kepada golongan sasar.
“Kami tidak mementingkan soal bayaran semata-mata dan ia adalah satu gabungan antara NGO yang terbabit dalam urusan van jenazah seluruh negara,” katanya yang lebih mesra dipanggil Ayah Mat dalam kalangan penduduk setempat.
Menurutnya, gabungan NGO ini dilihat lebih praktikal kerana jarak perjalanan antara negeri dapat dipendekkan.
Katanya, sebagai contoh, sekiranya dia dalam perjalanan membawa jenazah ke Kuala Lumpur, namun hanya perlu menghantar ke sempadan Pahang sebelum NGO di negeri itu mengambil jenazah untuk urusan dihantar ke destinasi terakhir.
“Kaedah itu lebih menjimatkan masa dan tenaga selain dapat menguruskan jenazah lain sekiranya khidmat diperlukan di kawasan masing-masing.
“Perkhidmatan (penghantaran jenazah) ini percuma bagi golongan asnaf, namun bagi waris yang berkemampuan dan ingin mendapat khidmat van jenazah ini tidak ditolak dan kami menerima sumbangan seikhlas hati.
“Ini adalah amanah penyumbang dan saya bersama rakan melakukannya dengan seikhlas hati tanpa upah, manakala bayaran seikhlas hati itu digunakan untuk pelbagai keperluan antaranya petrol, baik pulih kenderaan dan sebagainya,” katanya.
Menurutnya, perkhidmatan berkenaan tersedia 24 jam dan pihaknya akan membantu waris yang memerlukan bantuan untuk urusan dari satu lokasi seperti hospital atau rumah hingga ke hentian terakhir iaitu tanah perkuburan.
“Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana ramai individu sedia menyumbang wang ringgit dan sebagainya kepada persatuan bagi membantu golongan sasar,” katanya yang juga pemandu van jenazah sepenuh masa.
METRO