Ibu mengandung disamun dalam rumah

PASIR PUTEH: Seorang wanita yang sedang mengandung lima bulan berdepan detik cemas apabila diacu pisau oleh lelaki tidak dikenali yang memecah masuk rumahnya di Kampung Gong Mengkelih, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, wanita berkenaan, Siti Nor Rafeeqa Abdul Hamid, 29, berada di rumah bersama anak ketiganya, Ahmad Qayyim Rizqi, 4 manakala suami, Rozman Ishak, 46 keluar bekerja dan dua anak lain bersekolah.

Nor Rafeeqa berkata, ketika kejadian, dia dan anak berada di dalam bilik tidur sebelum keluar dari bilik untuk ke tandas dan tiba-tiba diacu pisau oleh seorang lelaki yang sedang menunggu di luar bilik mereka.



“Dia terus acu pisau dan kata ‘beg mana beg’ sebelum menyuruh saya mengambil beg yang mengandungi wang tunai dan barang kemas selain turut merampas telefon bimbit saya.

“Kerugian lebih kurang RM35,000 termasuk wang tunai modal berniaga suami,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Nor Rafeeqa yang sedang mengandung anak keempat berkata, suspek turut melarikan motosikal jenis Honda EX5 miliknya.

“Lelaki itu bertubuh kurus tinggi, berkulit sawo matang serta rambut berjambul dipercayai memecah masuk menerusi besi tingkap yang dibengkokkan selain turut mencabut tiga lapis cermin tingkap.



“Dia tidak berbaju dan hanya berseluar jeans pendek,” katanya.

Mangsa turut memberitahu, selepas menyamun, suspek menyuruhnya mengambil kunci pintu dapur untuk melarikan diri.

“Dia suruh saya dan anak masuk ke bilik dan apabila terdengar bunyi motosikal pergi barulah saya beranikan diri berlari ke rumah jiran untuk meminta tolong,” katanya yang memberitahu semua pintu rumahnya dikunci ketika kejadian.

“Pisau yang digunakan turut terjatuh di bahagian tangga rumah manakala motosikal yang dicuri dijumpai tidak lama kemudian di dalam belukar di Kampung Chengal Pulas kira-kira satu kilometer dari rumah,” katanya.



Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button