Ada gerakan sulit dalam UMNO untuk gabungkan beberapa parti

KUALA LUMPUR – Ada beberapa individu di dalam UMNO sedang melakukan gerakan sulit bersama Pas untuk ‘menjodohkan’ Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak GPS selepas Pilihan Raya Umum (PRU-15).

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed mendakwa, kumpulan itu cuba melemahkan UMNO dari dalam dengan harapan mereka dapat mempengaruhi barisan kepimpinan BN supaya menerima PN sebagai rakan kerjasama politik di masa depan.

Katanya, mereka juga sanggup menerima ‘katak-katak politik’ bekas UMNO dari Bersatu dan cuba membuat taktik pengambilalihan BN.



“Tindakan mereka ini terutamanya malaun dalam UMNO ini jelas membelakangkan parti di mana gerakan usaha sama merentasi sempadan hingga ke Borneo dipercayai dilakukan secara gelap dan demi kepentingan kuasa serta peribadi.

“Mereka juga dikatakan cuba untuk ‘meminang’ GPS supaya menerima projek Trans PN-BN-Borneo bagi menubuhkan kerajaan campuran selepas PRU-15.

“Tapi, dengar ceritanya GPS pun tolak dan tak setuju dengan pinangan tak masuk akal kumpulan malaun ini, sebab GPS lebih cerdik serta tahu usaha sama pintu belakang ini tetap tak membantu tertubuhnya sebuah kerajaan yang stabil,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai berkata, GPS sedar sekiranya UMNO berpecah maka BN tak akan wujud lagi.



Malah pemimpin-pemimpin dalam GPS pun sudah tahu sejarah kegemilangan BN sejak lebih 60 tahun lalu dan mungkin nasib MCA dan MIC akan ke laut tanpa UMNO dalam BN.

“Saya rasa orang Sarawak sudah cukup bersyukur dapat projek Highway Trans Borneo hasil usaha Bossku (Najib) ketika beliau jadi PM. Orang Sarawak tak perlukan jaringan politik Trans PN-BN-Borneo pun sebab mereka sudah selesa di bawah pentadbiran GPS selama ini.

“Bagi sesetengah walaun dalam Pas dan malaun dalam UMNO, mereka sanggup mengkhianati perjuangan parti sendiri kerana mahu mengekalkan kedudukan, jawatan dan pangkat di Putrajaya sebab mereka sedar sekarang ini kedudukan mereka cukup rapuh.

“Sebab itulah mereka sedaya upaya mahu menjodohkan dan menikahkan PN serta BN dalam satu perkahwinan mutaah politik demi kepentingan sendiri. Mereka tahu usaha ikut pintu depan ditentang habis-habisan oleh majoriti pemimpin dan ahli akar umbi UMNO,” ujarnya.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button