Pementasan Broadway berakhir selepas 35 tahun dipersembahkan di New York

Persembahan pertamanya ialah pada 26 Januari 1988

NEW YORK, Amerika Syarikat – Selepas 35 tahun, Phantom of the Opera, pementasan Broadway paling lama berjalan, akan berakhir pada awal 2023.

Naskhah Andrew Lloyd Webber itu akan dipentaskan untuk kali terakhir pada 18 Februari 2023, kata penerbit, Cameron Mackintosh dan The Really Useful Group dalam satu kenyataan pada Jumaat.

“Sebagai penerbit British, ia satu penghormatan yang tiada tandingan untuk mempersembahkan muzikal yang paling lama dipentaskan dalam sejarah Broadway, Phantom of the Opera.



“Fakta bahawa Phantom of the Opera dipentaskan di New York selama hampir 35 tahun adalah sangat mengejutkan saya,” kata Mackintosh dalam satu kenyataan.

Sejak mula dipentaskan pada 26 Januari 1988, ia telah dipersembahkan lebih 13,500 kali dan ditonton oleh lebih 19 juta penonton dengan kutipan AS$1.3 bilion, menurut penerbit.

Phantom of the Opera telah memenangi tujuh Anugerah Tony, termasuk muzikal terbaik.

Penerbit berkata pementasan itu juga menjadi sumber pekerjaan terbesar Broadway dalam sejarahnya, dengan kira-kira 6,500 petugas semasa tayangannya.



Di seluruh dunia, ia telah dipersembahkan di hadapan kira-kira 145 juta penonton di 41 negara, dalam 17 bahasa.
Walaupun pementasan di Broadway akan berakhir, ia masih diteruskan di lokasi lain.

Phantom of the Opera merupakan pementasan muzikal yang mahal untuk dikekalkan, dengan set dan kostum yang rumit serta pelakon dan orkestra yang besar.

Anggaran kasar box office juga tidak stabil selepas ia dibuka semula pasca wabak COVID-19.

Ia mengisahkan tentang ‘phantom’ yang menghantui Rumah Opera di Paris dan jatuh cinta dengan penyanyi soprano muda, Christine. Lagu-lagu yang dipersembahkan merupakan hasil ciptaan Andrew Lloyd Webber termasuk “Masquerade,” ″Angel of Music,” ″All I Ask of You” dan “The Music of the Night”.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button