Keputusan lanjutan pengajian STPM/Setaraf diumum Ahad

Oleh Azrin Muhammad

PUTRAJAYA – Keputusan permohonan melanjutkan pengajian ke universiti awam (UA) bagi Program Pengajian Lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)/Setaraf Sesi Akademik 2022/2023 akan diumumkan pada Ahad ini.

Menurut Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerusi satu kenyataan, keputusan boleh disemak secara dalam talian mulai 25 September ini pada pukul 12 tengah hari hingga 4 Oktober depan pada pukul 5 petang.



“Semakan boleh dibuat di https://jpt.utm.my; http://jpt.uum.edu.my; https://jpt.unimas.my; http://jpt.ums.edu.my; http://jpt.umt.edu.my atau melalui aplikasi Mobile UPUPocket.

“Pengesahan setuju atau tolak tawaran akan dimulakan pada 26 September hingga 4 Oktober depan di laman web rasmi UA,” katanya, di sini hari ini.

Tambah KPT, surat tawaran rasmi akan dikeluarkan oleh UA kepada yang berjaya dan boleh dicetak mulai Isnin depan setelah calon membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh yang dinyatakan.

Katanya lagi, hanya pemohon yang tidak berjaya mendapat tawaran program pengajian sahaja boleh mengemukakan permohonan rayuan melalui UPUOnline bagi kemasukan ke UA dalam tempoh 10 hari mulai 25 September ini pada pukul 12 tengah hari sehingga 4 Oktober depan pada pukul 5 petang.



“Tawaran tempat bagi Sesi Akademik 2022/2023 adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran program pengajian dan UA tidak dibenarkan.

“Dasar pemilihan rayuan adalah tertakluk kepada kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian selepas pendaftaran pelajar baharu selesai dilaksanakan,” katanya

Orang ramai yang mempunyai kemusykilan boleh menghubungi KPT di nombor 03-88708200.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button