Quartararo kempunan podium Aragon

ALCANIZ, Sepanyol: Juara dunia, Fabio Quartararo terbabas di pusingan pertama MotoGP Aragon hari ini.

Penunggang Yamaha dari Perancis itu terlanggar jentera Honda ditunggang Marc Marquez, juara enam kali yang kembali berlumba selepas rehat 112 hari akibat kecederaan.

Badi Quartararo, yang tidak pernah menaiki podium di Aragon, berterusan di litar Motorland selepas pelumba itu gagal meneruskan perlumbaan.



Beberapa saat kemudian, penunggang Honda dari Jepun, Takaaki Nakagami turut terbabas selepas melanggar Marquez, yang kepulangannya bertukar mimpi ngeri seawal pusingan pertama.

Marquez, yang berlumba buat pertama kali selepas melakukan pembedahan di tangan kanannya yang cedera pada tahun 2020, turut gagal meneruskan perlumbaan akibat kerosakan motosikalnya.

“Sungguh malang sekali. Di selekoh ketiga Fabio begitu rapat dan ada sentuhan. Saya rasa ada yang tidak kena di selekoh kelima, tujuh masih okay, tetapi selepas itu motosikal mula berat ke sebelah kiri. Serpihan motosikal Fabio melekat di motosikal saya,” kata Marquez.

Harapan Quartararo untuk mempertahankan kejuaraan sedikit tercalar dengan pesaing terdekat, Francesco Bagnaia hanya ketinggalan 10 mata selepas menduduki tempat kedua di Aragon.



Enea Bastianini memenangi perlumbaan hari ini – menafikan kemenangan kelima berturut-turut Bagnaia dari Ducati.

Saingan MotoGP musim ini hanya berbaki lima perlumbaan.

AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button