Adik harap penculik akan lepaskan kakaknya
KOTA BHARU – “Semoga ada keajaiban, diharap mereka lepaskan kakak saya.”
Itu luahan adik kepada ejen jualan kosmetik dikenali sebagai Azi yang diculik penjenayah baru-baru ini.
Menurut adiknya yang hanya mahu dikenali sebagai Mohammad itu, semakin lama berlanjutan kes tersebut, semakin membuatkanya keluarganya tidak dapat tidur lena.
“Semakin lama, semakin khuatir dan membuatkan kami sekeluarga sangat merindui kakak saya.
“Semoga dia (kakak) berada dalam keadaan selamat. Harap penculik itu bagi makan dan minum kepada kakak. Kami hanya mampu memohon doa yang tak putus-putus dan berharap kepada Allah sahaja,” katanya ketika dihubungi.
Tambah Mohammad, keluarganya masih belum menerima sebarang perkembangan terbaharu daripada pihak polis atau penjenayah berhubung kes penculikan itu.
“Kami juga masih tidak dapat panggilan daripada penculik untuk mendapatkan wang tebusan bagi kakak saya. Malah, setakat ini juga masih belum ada perkembangan daripada pihak polis.
“Buat masa ini juga kami minta jasa baik semua untuk tidak mengganggu siasatan polis. Cukup setakat ini dulu kenyataan yang saya mampu berikan kepada pihak media.
“Diharap semua faham dan mendoakan kemudahan dan kelancaran siasatan polis bagi kes ini.
Saya sangat kasihan pada mak dan ayah saya. Mereka masih dalam keadaan trauma dan ketakutan selepas insiden penculikan ini berlaku,” tambah Mohammad.
Azi yang berusia 36 tahun dipercayai diculik dalam kejadian di Kampung Semat Jal, Palekbang, di sini, minggu lalu.
Dalam kejadian pukul 5.10 petang itu, mangsa dilarikan oleh empat lelaki dengan menggunakan kereta jenis Toyota Vios berwarna perak.
© Astro Awani