Bina kawasan rehat dan rawat untuk nikmati pemandangan

Kuala Lumpur: Sebuah Kawasan Rehat dan Rawat (RSA) akan dibangunkan berdekatan Persimpangan Tasik Tambahan agar pengguna boleh menikmati pemandangan panorama Kuala Lumpur dengan selesa dan selamat pada masa akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas), Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, buat masa kini, kon keselamatan diletakkan di lokasi berkenaan untuk membendung pengguna daripada berhenti tanpa alasan kecemasan.

Menurutnya, syarikat konsesi mengambil maklum terdapat segelintir pengguna lebuh raya yang teruja dan berhenti di laluan kecemasan untuk merakam pemandangan di beberapa lokasi dalam lebuh raya.



“Kami melarang pengguna daripada memberhentikan kenderaan di bahu jalan tanpa alasan kecemasan.

“Ini kerana perbuatan itu berbahaya bukan saja kepada diri mereka sendiri malah pengguna lebuh raya lain,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, aspek keselamatan sentiasa diutamakan oleh Prolintas agar tiada insiden tidak diingini berlaku.

Katanya, Unit Polis Bantuan Prolintas melakukan rondaan dengan lebih kerap dan ditempatkan di lokasi panas itu.



Tambahnya, papan tanda “Dilarang Berhenti Kecuali Kecemasan” juga akan dipasang di kawasan dikenal pasti dalam masa terdekat.

“Mesej sama akan dipaparkan pada Sistem Mesej Pelbagai (VMS) di sepanjang lebuh raya sebagai peringatan kepada pengguna,” katanya.

Sejak dibuka kepada umum pada 16 September lalu, beberapa lokasi di lebuh raya itu menjadi tumpuan pengguna merakam pemandangan ibu kota.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button