Anak penyu kepala dua jarang ditemukan hidup

(Seekor anak penyu jenis agar berkepala dua yang ditemukan masih hidup di Tanjong Jara Resort, Dungun, Terengganu pada 30 Ogos lalu)

Oleh Azrin Muhammad

KUALA TERENGGANU – Baru-baru ini, tular di laman sosial mengenai penemuan seekor anak penyu jenis agar berkepala dua yang masih hidup di Tanjong Jara Resort, Dungun, sekali gus menjadikannya sebagai penemuan ketiga yang pernah dicatatkan.

Menurut pakar penyu dari Institut Penyelidikan Marin Borneo, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Juanita Joseph, penemuan anak penyu yang masih hidup amat jarang berlaku kerana kebanyakan yang ditemui tidak hidup lama dan mati.

“Penemuan pertama berlaku di Pulau Redang pada tahun 2012 ketika saya berkhidmat di Unit Penyelidikan Penyu Laut (SEATRU), Institut Oseanografi & Sekitaran (INOS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

“Penemuan kedua pula di Pulau Mabul pada tahun 2019 dan ketiga di Dungun, Terengganu pada 30 Ogos lalu dan dipercayai masih hidup,” katanya dalam satu laporan media tempatan, baru-baru ini.

Terdahulu, sekumpulan sukarelawan di Pusat Penetasan Penyu di Tanjong Jara Resort terkejut apabila menemukan seekor anak penyu berkepala dua sebelum diserahkan kepada Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu di Rantau Abang, Dungun untuk pemantauan rapi.

Tambahnya, sepanjang pemuliharaan penyu dijalankan di Pulau Redang sejak tahun 1993, hanya lima kes penyu berkepala dua pernah dijumpai, namun kebanyakan mati di dalam sarang.

“Daripada lima penemuan, mungkin hanya satu sahaja yang masih hidup dan ia tidak akan bertahan lama kerana sukar untuk mengkoordinasi pergerakan dua kepala serta berkongsi organ dalaman.

“Sebelum ini, SEATRU pernah juga menjumpai anak penyu agar dan anak penyu karah berkepala dua, tetapi mati di dalam sarang,” katanya.

Katanya lagi, usia paling lama untuk seekor penyu berkepala dua adalah tiga bulan sahaja iaitu yang ditemui di Florida, Amerika Syarikat berdasarkan rekod setakat ini.

Dalam masa sama, Juanita juga memberitahu, penyu berkepala dua digelar bicephaly atau dicephalism iaitu berkongsi jantung dan anggota badan yang lain.

“Ia bukan sesuatu yang pelik kerana telah lama dilaporkan terjadi kepada haiwan reptilia marin terutamanya penyu. Cuma ia jarang berlaku menyebabkan penemuannya dianggap luar biasa dan membuatkan ramai teruja,” katanya.

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker