Hanya IPT boleh anugerahkan doktor kehormat

(Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Husaini Omar.)

 

Oleh Azrin Muhammad

PUTRAJAYA – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menegaskan mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) tidak berhak menganugerahkan gelaran doktor kehormat melainkan institusi pengajian tinggi (IPT).

Menurut Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Husaini Omar, KPT baru-baru ini menerima aduan mengenai satu akaun Facebook yang membuat hantaran mengenai penganugerahan doktor kehormat dengan gelaran Doktor (Dr.) kepada individu tertentu.



“Aduan berkenaan adalah isu berulang dan hasil siasatan setakat ini, mendapati bahawa penganugerahan Honorory Doctorate Award itu diberikan berdasarkan sumbangan sosial individu bagi mengiktiraf jasa dan kecemerlangan, bukan akademik.

“Dalam isu ini, KPT perlu bertegas kerana ia hanya boleh dianugerahkan oleh IPT yang diiktiraf oleh kementerian sahaja.

“NGO tidak boleh melakukan perkara sama,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ketua Penerangan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Selangor, Dr R Siva Prakash membuat dakwaan bahawa wujudnya NGO tertentu yang berselindung di sebalik perkhidmatan sosial serta kegiatan seni dan budaya di platform media sosial menawarkan anugerah doktor kehormat dengan bayaran antara RM480 hingga RM8,000.



Tambah Husaini, KPT menyeru orang ramai untuk berhati-hati dengan tawaran Ijazah Doktor Kehormat oleh NGO atau persatuan tertentu berdasarkan sumbangan sama ada dari segi pembangunan negara dan tanggungjawab sosial korporat dalam komuniti atau jalinan diplomatik di peringkat antarabangsa.

“Mengikut Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555), tafsiran Pengajian Tinggi membawa maksud ajaran atau latihan mengenai atau pengajaran kursus pengajian yang membawa kepada penganugerahan sijil, diploma atau ijazah sesudah tamat mengikuti dengan jayanya kursus pengajian itu.

“Tafsiran Kerangka Kelayakan Malaysia (KKM) oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menggariskan kelayakan akademik adalah sijil, diploma atau ijazah yang dianugerahkan oleh pihak berkuasa yang kompeten dan penganugerahannya mengesahkan seseorang telah berjaya melengkapkan pengajian pada standard tertentu, iaitu bermula dengan sijil (tahap 1) hingga Ijazah Kedoktoran (tahap 8),” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan, boleh menghubungi KPT di talian 03 8000 8000 sambungan (4826 / 4825) atau layari laman sesawang rasmi www.mohe.gov.my atau www.jpt.mohe.gov.my.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker