KPT, MACEE hantar penerima geran ke-1,000

(MACEE mentadbir lapan Program Fulbright dan menguruskan pertukaran 1,000 rakyat Malaysia ke AS sejak menandatangani perjanjian binasional antara dua negara pada 1963)

Oleh Azrin Muhammad

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melakar sejarah baharu apabila berjaya menghantar penerima geran Malaysia ke-1,000 ke Amerika Syarikat (AS) di bawah Program Fulbright dengan kerjasama Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia-Amerika Syarikat (MACEE), Sabtu lalu.



Menurut Menterinya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Malaysia komited ke arah memperkukuhkan hubungan dua hala dengan AS menerusi MACEE dan Program Fulbright untuk memperoleh pencapaian yang lebih besar pada masa hadapan.

“Hubungan dua hala antara Malaysia dengan AS dalam bidang pendidikan tinggi dicerminkan oleh pencapaian baharu ini yang menjadi bukti kerjasama yang berjaya menerusi penganugerahan geran, kerjasama penyelidikan, pertukaran dan lawatan oleh ahli akademik dan pelajar dari kedua-dua negara.

“Malaysia adalah sebuah negara yang mengejar matlamat untuk menjadi hab antarabangsa bagi pendidikan tinggi berkualiti,” katanya dalam satu laporan berita tempatan, di sini, hari ini.

Terdahulu, Program Fulbright bertujuan memupuk perkongsian akademik antara pelajar dan sarjana di AS dan Malaysia, manakala peserta pula dihoskan oleh rakan kongsi program yang terdiri daripada universiti awam dan swasta, termasuk organisasi bukan akademik di seluruh AS.



Tambah Noraini, peserta Fulbright 2022 memulakan perjalanan mereka ke AS seawal Januari lalu bagi mengikuti pelbagai program di institusi akademik dan pusat penyelidikan AS terkemuka untuk pelbagai subjek daripada pertanian kepada pemerkasaan ekonomi wanita.

Dalam masa sama, Duta Besar AS ke Malaysia Brian McFeeters berkata, Program Fulbright telah memainkan peranan penting dalam mengukuhkan hubungan setiap rakyat AS dengan Malaysia melalui pertukaran pendidikan selama lebih 50 tahun.

“Kami berharap dapat meraikan lebih banyak pencapaian dan meningkatkan persefahaman antara rakyat Malaysia dengan Amerika melalui pendidikan tinggi,” katanya.

Rakyat Malaysia yang ingin mendaftar di bawah biasiswa Fulbright boleh melayari laman web MACEE www.macee.org.my atau hubungi [email protected].



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button